By Dr Mahathir Mohamad
1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato Seri Anwar merupakan percubaan untuk mengalih perhatian terhadap pendiriannya iaitu, “Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel” (I support all efforts to protect the security of the State of Israel) kepada soal pengiktirafan negara itu.
2. Israel telah mengambil sikap bahawa untuk keselamatan negara, ia akan mengganas lebih daripada pengganas (out terrorise the terrorists). Sebab itu kita lihat tindakan Israel apabila menuduh pihak Palestin melaku keganasan kepadanya, ialah dengan serangan yang keterlaluan.
3. Demikian kerana kononnya Israel diserang oleh puak Palestin, Israel melancar serangan yang dahsyat supaya penduduk Jenin sebuah bandar kecil Palestin terbunuh beramai-ramai dan bangunan-bangunan diroboh semasa penduduk-penduduk masih ada dalam ruman dan bangunan. Penduduk Jenin yang terdiri daripada orang awam, lelaki, perempuan, tua dan muda termasuk kanak-kanak di bunuh. Ini adalah balasan Israel untuk kepentingan sekuritinya.
4. Demikian juga di Gaza. Demi sekuriti bagi Israel, tenteranya telah melanggar masuk Gaza, membunuh lebih daripada seribu orang Palestin, menghancurkan hospital, sekolah dan ruman-rumah kediaman. Bekalan air dan api di hancurkan.
5. Kemudian walaupun atas desakan masyarakat antarabangsa tentera Israel berundur, tetapi sekatan diadakan supaya tidak ada bekalan makan dan ubat-ubatan yang dapat masuk Gaza. Bangunan-bangunan yang telah roboh akibat bedilan tentera Israel tidak dapat dibaiki kerana bahan-bahan binaan dihalang oleh Israel daripada dibawa masuk Gaza.
6. Penduduk yang rumah mereka telah dimusnah terpaksa tinggal dalam khemah atau rumah yang tidak berbumbung atau dinding. Di musim sejuk mereka menggigil kesejukan. Yang tua dan anak kecil boleh mati kerana kesejukkan.
7. Walaupun sudah undur dari Gaza bedilan roket dan meriam diadakan hampir setiap hari.
8. Apabila Malaysia dan Turki membawa barangan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan dengan kapal, tentera Israel menyerang kapal MV Marmara di perairan antarabangsa dan membunuh sembilan orang Turki yang tidak bersenjata.
9. Sekatan yang dibuat oleh Israel tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa. Sudah tentu serangan dan pembunuhan orang awam yang sedang mengerjakan kerja kebajikan adalah salah dari segi undang-undang antarabangsa. Namun Israel tidak sedikit pun mengaku bersalah dan Amerika menyokong Israel dengan pendirian dan perbuatannya.
10. Kenapakah semua ini dilakukan. Israel mendakwa bahawa mereka sedang mempertahan keselamatan atau sekuriti negara mereka.
11. Israel memasuk dalam tahanan beribu rakyat Palestin tanpa sebab dan tanpa bicara. Tujuannya ialah supaya jika seorang dari askar Israel ditawan oleh rakyat Palestin, maka Israel akan menebus rakyatnya dengan melepaskan 500 orang tahanan.
12. Israel tidak memperdulikan garisan sempadan yang ditentukan oleh masyarakat antarabangsa. Sebaliknya Israel menawan lebih banyak wilayah Palestin dan dengan angkuhnya mendiri perumahan bagi rakyatnya di wilayah Palestin. Jalan dibina dalam kawasan Palestin yang orang Palestin tidak dibenar menggunanya.
13. Tembok tinggi dibina yang membahagikan kawasan yang diduduki orang Palestin supaya mereka tidak dapat hidup bersama.
14. Apabila rakyat Palestin membantah dengan menunjuk perasaan, mereka ditembak mati oleh askar Israel sebagai balasan kepada lontaran batu oleh orang Palestin.
15. Orang Palestin tidak dibenar memanggil wilayah mereka sebagai Negara Palestin (Palestine State). Mereka hanya boleh mengguna perkataan Palestinian Authority (Pihak Berkuasa Palestin).
16. Semua ini dilakukan oleh Israel sebagai tindakan bagi mempertahankan sekuriti Israel. Di belakang Israel terdapat Amerika Syarikat dan negara Eropah.
17. Tidak ada siapa yang sanggup membantu orang Palestin. Mereka terpaksa bergantung kepada tindakan kecil-kecilan untuk mempertahankan diri mereka. Jika mereka menyerang sebagai balasan kepada serangan tentera Israel, maka Israel akan mengganas tanpa had. Apa sahaja boleh dilakukan oleh Israel kerana kononnya mereka mempertahankan keselamatan (security) mereka.
18. Apabila Anwar berkata “ia sokong segala usaha untuk melindungi keselamatan Israel,” secara langsung ia menyokong keganasan yang tidak terhingga dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel kononnya untuk menjaga sekuriti Israel. Apakah orang Palestin tidak berhak kepada keselamatan mereka? Apakah mereka tidak boleh bertindak untuk mempertahankan diri mereka, tanpa serangan keganasan yang keterlaluan yang dilakukan oleh Israel.
19. Pendirian Anwar sebenarnya menghalalkan strategi Israel untuk “Out-terrorise the terrorists” atau membalas keganasan dengan melipat ganda keganasan untuk keselamatan Israel.
20. Anwar memberi amaran kepada sesiapa yang membuat komen terhadap kenyataan yang dibuat olehnya. Saya tidak syak yang ia akan mendakwa di mahkamah supaya mulut pengkritik ditutup sepanjang proses pengadilan. Sudah tentu masa yang amat panjang akan diambil dalam proses ini kerana Anwar akan bermula degan menuduh hakim berat sebelah dan perlu ditukar. Masa yang panjang akan berlalu sementara ditentukan berasas atau tidak tuduhannya.
21. Jika didapati oleh mahkamah yang didakwa oleh Anwar tidak bersalah maka ia akan buat rayuan kepada ‘Appeal Court’ atau Mahkamah Rayuan.
22. Jika Appeal Court bersetuju dengan hakim mahkamah tinggi, Anwar akan appeal kepada Federal Court.
23. Hampir lima tahun berlalu sebelum kes saman malu olehnya terhadap saya tamat. Sementara saya dituntut bayaran sebanyak RM100juta, apabila didapati saya tidak bersalah, saya dibayar kos sebanyak hanya RM70,000.00.
24. Tentulah Anwar akan lebih berani membuat tuntuan beratus juta kerana jika ia kalah maka kos baginya hanyalah sedikit.
25. Anwar mendakwa bahawa ia menyokong kebebasan bersuara tetapi apabila dikritik oleh sesiapa ia tidak ingin lihat kebebasan bersuara yang ia kononnya memperjuangkan. Justeru itu ia mengguna “sub judice” untuk menutup mulut pengkritik. Sudah tentu jika ia berkuasa kebebasan media akan dihapuskan.
26. Pada hakikatnya Anwar sokong penuh segala tindakan ganas yang keterlaluan yang dilakukan oleh Israel kerana Anwar sokong “all efforts to protect the security of Israel”.
sumber : http://chedet.cc/
No comments:
Post a Comment