Malaysia tidak harus terlalu banyak bergantung kepada Barat, sebaliknya perlu menghasilkan sistemnya sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad malam semalam.
Beliau berkata, Malaysia berbeza daripada negara-negara Barat dan unik dalam caranya sendiri, justeru sistem dari Barat mungkin tidak semuanya bersesuaian.
"Oleh itu, kita perlu memikirkan semula apa yang telah kita terima pakai dan mewujudkan satu sistem yang baru serta lebih kreatif dalam bidang politik, sosial dan ekonomi negara ini.
"Kita tidak harus mengandaikan bahawa hanya mereka (Barat) yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan idea berinovasi. Saya percaya kita juga boleh menghasilkan idea yang berinovasi. Jadi, kesimpulannya, dalam bidang politik, sosial dan ekonomi, jalan untuk maju ke hadapan adalah untuk menyemak semula, meneliti semua sistem yang datang dari Barat.
"Lihat sama ada ia bersesuaian bagi kita, dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara kita atau tidak. Kita mesti menyemak perkara yang kita lakukan hari ini sama ada kita mahu mengikut Barat atau kita melakukannya kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi atau masa depan kita,” katanya.
sumber - BERNAMA
No comments:
Post a Comment