Friday, February 3, 2012

Lotus mungkin dijual – Tun Mahathir

BERIKUT adalah temubual di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri dengan Bloomberg. Beliau mengulas pengambilan alih Proton Holdings Bhd. oleh konglomerat tempatan DRB-HICOM Bhd.

Mahathir yang terlibat dalam mengasaskan Proton dan kekal sebagai penasihat juga mengulas sama ada DRB-HICOM patut menjual anak syarikat kereta nasional itu, Group Lotus International Ltd. berpusat di United Kingdom.

Apakah pandangan Tun Dr. Mahathir mengenai penjualan Lotus?

Ia adalah pilihan berdaya maju dan saya berpendapat pemilik baharu Proton mungkin mempertimbangkannya. Tetapi, Lotus bukan sekadar sebuah syarikat kereta sports. Ia adalah syarikat teknologi dan kejuruteraan. Ia menjual kemahiran kejuruteraan kepada China dan membantu mereka yang ingin memasuki industri (automotif).

Mampukah DRB-HICOM menjayakan Proton?

Individu di belakang DRB-HICOM adalah seorang usahawan yang berjaya. Beliau memiliki pelabuhan dan pelbagai perniagaan lain dan telah mengambil alih DRB-HICOM daripada pemilik terdahulu sebelum memulihkannya.

DRB-HICOM mengalami kegagalan besar sebelum ini. Ia mengalami kerugian tunai yang besar sebelum diambil alih dan dipulihkan. DRB-HICOM kini syarikat yang menguntungkan dan banyak syarikat-syarikat automotif asing menjadi ia rakan strategik. DRB-HICOM memasang kereta Mercedes-Benz, Volkswagen dan Suzuki. Kewangan mereka kukuh dan saya begitu yakin.

Memang benar syarikat ini mempunyai tanggungan hutang atau pinjaman yang besar. Tiada orang kaya dengan duit sendiri. Mereka kaya dengan duit yang mereka pinjam.

Adakah Proton masih memerlukan rakan strategik global?

Kalau anda ke Itali, syarikat-syarikat kecil boleh mereka dan mengeluarkan kereta, jadi penyertaan (kerjasama) syarikat-syarikat besar tidak diperlukan. Syarikat kecil itu boleh menggunakan khidmat syarikat yang digunakan syarikat besar.

Kami melihat syarikat-syarikat besar lebih berminat untuk ‘menelan’ kami. Oleh yang demikian kita bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang kecil dan kini, kami boleh membina dan mereka kereta-kereta moden dengan kerjasama syarikat-syarikat kecil ini.

Apakah yang diperlukan untuk memulihkan Proton?

Saya fikir pengurusan yang baik. Tiada apa yang salah dengan Proton tetapi pengurusan yang tidak baik menyebabkan ia bermasalah. Dulu Proton mencatatkani prestasi cukup baik. Ia meraih banyak wang sehingga mampu membina kemudahan cukup besar, termasuk kilang pembuatan bernilai RM1 bilion. Pembinaan kilang itu dijana menggunakan duit sendiri dan bukan pinjaman daripada mana-mana bank atau kerajaan. Ia bukanlah sesuatu yang biasa bagi mana-mana syarikat untuk menjana dana secara dalaman bagi membiayai peluasan operasi. Jadi, Proton tidak gagal. Tetapi, hari ini, Proton bermasalah. Sudah tentu banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi. Sebagai contoh, pengimportan kereta-kereta asing dibenarkan tetapi pengisytiharan kemasukannya dibuat di bawah nilai sebenar dan (berlakunya) pelbagai perkara yang tidak sepatutnya. Akhirnya, kereta-kereta asing ini telah menolak Proton keluar daripada pasaran. Kita memahami masalahnya. Kita mempunyai peluang untuk memperbaikinya

Apakah cabaran Proton?

Suatu masa dahulu, Proton memiliki RM4 bilion, yang boleh digunakan untuk membiayai pertumbuhan masa depan. Bagaimanapun, disebabkan pengurusan yang salah, Proton kehilangan tunai.

Di dalam perniagaan automotif kita memerlukan banyak duit. Untuk mengadakan platform bagi setiap model memerlukan RM500 juta. Proton memerlukan duit dan saya berharap para pelabur baharu akan menyediakan peruntukan itu.

Perlukah Malaysia memiliki kereta nasional?

Malaysia sebenarnya tidak memerlukan kereta nasional. Kita boleh membeli kereta import dengan harga lebih murah. Industri automotif telah menjana banyak kemahiran kejuruteraan dan ia memberi faedah kepada pelbagai perniagaan lain.

Sekarang, kita mampu mengeluarkan komponen dan menghasilkan pelbagai barangan. Orang yang melihat Proton mungkin berpendapat ia sebagai satu kegagalan tetapi kami berpandangan ia telah membantu Malaysia memasuki pelbagai bidang kejuruteraan.


sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment