Friday, February 24, 2012

Kerajaan sedia dedah surat Dr. Mahathir

Kerajaan bersedia mendedahkan kepada umum surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada dua Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak yang menyatakan Malaysia tidak akan mempunyai hubungan dengan negara tersebut selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika tidak ada kemudaratan kepada negara, surat tersebut wajar didedahkan kepada rakyat bagi membuktikan dakwaan parti pembangkang bahawa Malaysia mempunyai hubungan dengan Israel adalah tidak benar.

''Saya sudah minta Wisma Putra menyemak surat itu dan meminta mereka untuk memberi ulasan sama ada surat tersebut boleh kita dedahkan.

''Tidak ada sebab kita tidak boleh dedahkan surat tersebut secara terbuka lebih-lebih lagi apabila pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan mempertikaikan surat tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Minum Petang Bersama Rakyat dan walkabout di Jalan Bunga Raya dan Jalan Kee Ann, di sini hari ini.

Najib diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mengakui pernah menulis surat kepada Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, surat yang ditulis itu adalah sebagai jawapan balas kepada surat yang diutus oleh dua pemimpin Yahudi itu yang meminta Malaysia mengubah pendirian dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pembangkang kini tersepit apabila menyatakan pendirian menyokong secara terbuka dan menyokong sebarang langkah untuk keselamatan Israel.

Beliau menambah kenyataan pembangkang itu menimbulkan kemarahan yang begitu ketara dalam kalangan rakyat Malaysia.

''Akibatnya, mereka cuba mencari alasan kononnya kita ada hubungan dan kita ada membuat sesuatu dengan kerajaan Israel dan sebagainya.

''Salah tanggapan rakyat terhadap kita yang dibangkitkan oleh pembangkang wajar untuk kita hilangkan dan hanya surat itu akan membuktikan kebenarannya," katanya.

Diminta mengulas mengenai pergolakan kepimpinan Kerajaan Pas Kedah, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada Selasa ini.

Beliau menyifatkan pergolakan di Kedah itu semakin hangat dan serius.


sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment