Monday, February 20, 2012

Dr M: Tiada apa yang perlu didebat dengan Anwar

Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata "tidak ada apa" yang perlu didebat dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan tokoh PKR itu sebagai "sesumpah", Mahathir berkata semua pihak mengetahui pendirian tokoh PKR itu yang didakwanya sentiasa berubah.

"Tidak ada apa untuk berdebat dengan Anwar. Kita tahu, tentang pendiriannya. He is everything to everybody.

"Dia adalah sesumpah, dia tukar warna kulit setiap hari. Kalau dia dengan kaum Cina, dia condemn Dasar Ekonomi Baru.

"Kalau dia dengan India, dia menjadi (seperti orang) India, kalau bersama Muslim, dia bercakap tentang Islam," katanya sinis.

Bercakap dalam sidang media selepas memberi taklimat khas kepada kira-kira 250 pemimpin PERKASA seluruh negara, Mahathir mendakwa apa yang diperjuangkan oleh penyokongnya adalah untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.

Pada sidang media itu juga, Mahathir berkata debat membincangkan isu Melayu boleh diadakan tetapi "kesannya tidak ada".

"Debat boleh, seronok orang tengok tapi kesan tak ada," katanya sambil menambah ianya lagi memburukkan lagi keadaan kerana setiap pihak masing berpegang dengan pendirian masing-masing.

Mahathir mendakwa rakyat Malaysia masih membenarkan perasaan sentimen mempengaruhi diri, berbanding bersikap rasional jika bercakap mengenai debat.

Ditanya mengenai penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai projek IC di Sabah terhadap pendatang asing, bekas perdana menteri itu berkata:

"Saya rasa ini adalah satu masalah... Tidak perlu kepada suruhanjaya siasatan diraja untuk membuat perkara ini. Kerajaan perlu mengumpul statistik mengenai perkara ini".

Turut hadir dalam sidang media itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Ibrahim Ali.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai keperluan untuknya berdebat dengan Anwar.

Ibrahim mendakwa ketua pembangkang itu "tidak relevan" dan "tidak ada pendirian moral untuk debat dengan perdana menteri"

"Apalagi kita nak debat dengan dia. Kita dah kenal dia. Kalau kita kenal dia, perangai dia, apa lagi kita nak debat.

"(Tetapi kalau saya) debat dengan Lim Guan Eng ada keperluan, nak tahu siapa yang rasis. Ini yang menarik," katanya

Ditanya berhubung dakwaan kapal Israel berdagang di negara ini seperti yang didedahkan oleh sebuah NGO PKR hari ini Ibrahim perlu melihat bukti dan mengetahui secara terperinci tentang latar belakangnya.

sumber : MALAYSIAKINI

No comments:

Post a Comment