Wednesday, July 18, 2012

Label diktator: Apa salah saya, soal Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang masih dilihat sebagai pemimpin politik yang berpengaruh, kelihatan terkilan dengan label pihak tertentu mendakwa beliau seorang diktator.

Sehubungan itu, Dr Mahathir meminta pengunjung-pengunjung blognya agar memberikan pandangan apa yang telah beliau lakukan sehingga ada pihak melabelnya seorang diktator.

"Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator," kata beliau.

[sila layari ruangan bancian online berkenaan soalan di atas]


Dalam entri terbaru blognya, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sejak 1981 berkata, "Benito Mussolini, Ferdinand Marcos, Presiden Rumania Nicolae Ceau┼čescu yang dibunuh, dan ramai lagi yang dicap sebagai diktator. Demikian juga (Muammar) Gadaffi dan Saddam Hussein."

"Ada lagi diktator yang dikenali umum. Hitler mendirikan pemerintahan kuku besi Nazi di Jerman. Enam juta Yahudi dibunuh dalam kamar gas. Yang tidak dibunuh, disiksa sehingga ramai yang mati," kata beliau ketika menghuraikan kepimpinan beliau selama lebih dua dekad.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno berkata, buatlah apa pun, musuh pihak yang bergelar tidak akan henti mengguna gelaran.

"Sebagai Perdana Menteri dahulu saya diberi banyak gelaran. Mahazalim, Firaun, diktator adalah antara gelaran yang dicipta oleh musuh politik saya.

"Apabila saya ditemu ramah sekarang, walaupun oleh orang yang tidak bermusuh dengan saya, soalan-soalan mereka ternampak yang mereka agak percaya bahawa gelaran terutama gelaran diktator yang diberi kepada saya adalah tepat dan berasas kepada kepercayaan bahawa saya adalah seorang diktator," katanya.

Beliau seterusnya menulis, "apakah yang saya lakukan, yang menyamakan sifat dan perbuatan seorang diktator."

Kata Dr Mahathir lagi, sekarang dunia sedang melihat kejatuhan beberapa ketua negara yang dicap sebagai diktator.

"Hosni Mubarak umpamanya dituduh membunuh beribu ahli Muslim Brotherhood. Dia juga dikatakan telah mengumpul harta kekayaan bernilai 70 billion dolar Amerika.

"Semasa saya berada di Kaherah di zaman Mubarak untuk bermesyuarat, apabila Presiden Mubarak bermotor dari istananya ke tempat persidangan, jalan yang dilalui olehnya dikosongkan dan askar bersenjata lengkap berderet sepanjang jalan.

"Di atas bumbung bangunan terdapat askar ‘sharp-shooter’ yang bersenjata untuk menembak sesiapa yang disyaki cuba menyerang rombongan Presiden (Hosni)," kata beliau lagi.

Dr Mahathir juga berkata, selain Istana Presiden dikelilingi tembok tinggi dan askar bersenjata berada di sekeliling sepanjang masa, musuh Mubarak tidak dibenar berpolitik, sering ditangkap, dikurung tanpa dibicara dan dihilangkan.

"Selama 30 tahun Mubarak menjadi Presiden, pemilihan bagi jawatan ini tidak pernah ditandingi oleh orang lain. (Sebanyak) 99 peratus daripada undi didapati oleh Mubarak.

"Tidak ada kebebasan bersuara atau akhbar bebas. Tidak ada pilihan raya untuk ahli dewan. Siapa sahaja boleh dilantik oleh Mubarak untuk menjadi menteri. Mereka juga boleh dibuang bila-bila sahaja," tulis beliau lagi.

sumber : SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment