Thursday, June 21, 2012

Pelajar kejururawatan perlu kuasai Bahasa Inggeris: Dr Siti Hasmah

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menasihatkan pelajar kejururawatan untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik memandangkan banyak terma perubatan dalam subjek sains tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, jururawat perlu menjadi individu yang mempunyai kebolehan berbilang dwibahasa kerana ini dapat membantu semasa berkomunikasi dengan pesakit dan keluarga mereka.
"Bukan semua pesakit dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Apabila seseorang itu boleh menguasai pelbagai bahasa, ia banyak membantu terutama bagi mereka yang bertugas di kawasan atau daerah yang berbeza," katanya selepas merasmikan majlis graduasi Reach College di sini, hari ini.
Dr Siti Hasmah, yang juga penaung kolej itu dan bekas pengamal perubatan berkata jururawat perlu meningkatkan pengetahuan mereka memandangkan pesakit pada masa ini berpelajaran dan amat maklum dengan dunia perubatan.

"Jururawat perlu bersedia menjawab pelbagai soalan daripada pesakit dan mereka perlu meningkatkan kemahiran insaniah dan juga kualiti peribadi," katanya.

Reach College yang berpangkalan di Bandar Menjalara, menyediakan pendidikan penjagaan kesihatan melalui latihan dan pembelajaran inovatif bagi menyediakan kakitangan jagaan kesihatan yang dapat memenuhi keperluan tenaga manusia bagi pelbagai pertubuhan jagaan kesihatan di Malaysia dan seberang laut.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr Nor Aini Abu Bakar berkata, pelajar diberikan kelas tambahan Bahasa Inggeris dan latihan kemahiran insaniah yang menjadi keperluan penting bagi bakal majikan.
Katanya, pelajar didedahkan dengan pelbagai penempatan klinikal dan amali bagi membolehkan mereka menjadi lebih cekap dalam bidang pengajian mereka dan berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran kerja.


sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment