Wednesday, June 13, 2012

Berterima kasihlah kepada polis, tentera - Dr. M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia perlu bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan atas jasa mereka yang cekap menjalankan tanggungjawab menjaga negara.

Beliau berkata, kerana jasa pasukan keselamatan termasuk bekas-bekas tentera dan komando yang mempertahankan negara suatu ketika dahulu telah membolehkan rakyat hidup aman dan selamat tanpa diancam keganasan atau serangan mana-mana pihak.

"Tapi kadang-kadang ada yang tidak bersyukur dengan keamanan yang dikecapi dan ingin melihat Malaysia menjadi seperti negara Arab yang huru-hara," katanya.

Dr. Mahathir selaku Penaung Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Jubli Perak kelab itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden KVKM, Nik Omar Al Haded Nik Mohamed Salleh.

Dr. Mahathir berkata, beliau juga kecewa ada puak-puak tertentu di negara ini yang mahu melihat kebangkitan rakyat, sekali gus menjatuhkan kerajaan.

''Itulah yang menjadi alasan mereka bertindak di luar batasan Perlembagaan dan undang-undang.

"Oleh kerana tidak pernah menang, itulah sebab mereka mahu rakyat melihat kerajaan sedia ada ditadbir secara kejam dan tidak prihatin.

"Apabila mereka tidak berjaya dalam pilihan raya, mereka akan mogok, berdemonstrasi supaya negara kita tidak aman," katanya.

Beliau berkata, walaupun begitu, kewujudan pasukan keselamatan negara telah berjaya mengekalkan keamanan negara daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

" Kita harus ingat tanpa pasukan keselamatan seperti komando dan tentera sudah pasti negara kita tidak akan aman," katanya.

Katanya, bekas anggota keselamatan diharap dapat terus menyumbang kepada keamanan dan keselamatan negara walaupun mereka sudah tidak berkhidmat lagi.

sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment