Saturday, June 23, 2012

Dasar Pandang Ke Timur masih relevan

Dasar Pandang Ke Timur yang pelaksanaannya masuk tahun ke-30 tahun ini, masih lagi relevan untuk 30 tahun akan datang, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, masih banyak lagi yang perlu dipelajari daripada dua negara utama bagi dasar itu, Jepun dan Korea, khususnya mengenai kebudayaan dan sistem nilai mereka termasuk disiplin, etika kerja dan semangat patriotisme.

"Saya berharap Dasar Pandang Ke Timur akan menolong kita belajar tentang kebudayaan di kedua-dua buah negara itu kerana budaya dan sistem nilai itu yang telah menggerakkan mereka begitu pantas sehinggakan meninggalkan kebanyakan negara maju jauh (mengekori) di belakang," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Antarabangsa Sempena Sambutan 30 Tahun Dasar Pandang Ke Timur: Kemampanan dan Kejayaan di sini hari ini.

Beliau berkata, perlu ada universiti dan pusat latihan Jepun dan Korea yang diuruskan sendiri oleh negara berkenaan, dibina di negara ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat mempelajari budaya dan sistem nilai mereka tanpa perlu ke negara itu.

Dr. Mahathir berkata, universiti itu perlulah berupa replika kepada apa yang ada di negara mereka daripada segi seni bina, landskap dan bahasa yang digunakan.

"Jika universiti itu terletak di Malaysia, ia lebih murah tetapi seluruh persekitarannya mesti seperti di Jepun. Dengan itu, rakyat yang kurang berkemampuan boleh belajar di universiti itu, bahkan rakyat dari negara-negara membangun juga mampu masuk ke universiti ini.

"Menyerap budaya orang lain tidak akan mengubah kita. Kita masih orang Malaysia. Kita telah menerima banyak budaya barat namun kita masih kekal sebagai Melayu, Cina dan India Malaysia. Kita tidak rugi apa-apa," katanya.

Kedua-dua Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020 diilhamkan beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

sumber — BERNAMA

No comments:

Post a Comment