Sunday, January 22, 2012

'Saman dia punya hak' - Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, beliau bersedia menghadapi tindakan saman oleh seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan salah laku penjawat awam dalam pemotongan kuantum gaji kor pegawai dalam pasukan keselamatan itu.

Menurut bekas Perdana Menteri, itu merupakan hak individu terbabit untuk mengemukakan saman berkenaan termasuk terhadap bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak apalah. Saman dia punya hak. Kalau saya dipanggil (ke mahkamah), saya pergilah.

"Saya terimalah saman apa pun," katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari sempena Kejohanan Tenis BMW Terbuka Malaysia 2012.

Kelmarin, seorang bekas pegawai ATM memfailkan saman terhadap beberapa individu termasuk Kuan Yew atas dakwaan salah laku penjawat awam sehingga menjatuhkan maruah kor pegawai ATM.

Plaintif, Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, yang mendakwa mewakili 403 pegawai dalam perkhidmatan dan yang telah bersara daripada ATM memfailkan writ saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain Najib, beliau menamakan kesemua bekas Perdana Menteri iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai defendan kedua.

Plaintif turut menamakan Ketua Setiausaha Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura sebagai defendan ketiga hingga ketujuh.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, saman itu berkaitan kecacatan, keanehan dan ketidakseimbangan dalam perhubungan antara sivil dan tentera di negara ini serta salah laku berunsur khianat dan penipuan oleh defendan-defendan dari 16 September 1963 hingga 16 September 2013 terhadap kor pegawai ATM.

Jelasnya, penipuan itu dilakukan untuk menjatuhkan darjat, martabat dan maruah kor pegawai ATM dengan cara memotong kuantum gaji kor pegawai supaya menjadikan status mereka lebih rendah daripada pegawai awam lain dalam sektor awam.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, beliau akan meneliti writ saman tersebut termasuk perkara berkaitan pemotongan kuantum gaji terbabit.

"Saya tak tahu. Saya kena kaji semula. Saya pun dah lupa habis dah," katanya.

sumber :Utusan

No comments:

Post a Comment