Wednesday, January 18, 2012

Dr Mahathir sifatkan Anwar 'juara pertandingan membuat rayuan'

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, dalam sejarah kehakiman negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai 'juara pertandingan membuat rayuan' terhadap keputusan mahkamah yang dikenakan ke atasnya.

Menurutnya, terbaru dalam kes liwat membabitkan Anwar dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, apa yang sering didengari sepanjang empat tahun ini hanyalah rayuan demi rayuan yang dikemukakan Ketua Pembangkang itu.

''Awal-awal lagi dituntut supaya hakim ditukar kerana kononnya berat sebelah. Dengan itu perbicaraan ditangguh sementara tuntutannya ditimbang oleh mahkamah. Masa berbulan-bulan berlalu kerana mahkamah terpaksa menentukan tarikh untuk mendengar rayuannya.

''Setelah diputus yang hakim berkenaan boleh dengar rayuannya, ada lagi rayuan yang dikemukakan. Jika keputusan yang dibuat baru-baru ini mendapati Anwar bersalah, percayalah ia akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

''Jika Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi, maka Anwar akan rayu kepada Mahkamah Persekutuan. Jika Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, maka Anwar akan tuntut untuk kesnya dibawa kepada Mahkamah Khas," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi entri terbaru bertajuk Hak Merayu di blognya, http://chedet.cc.

Dr. Mahathir berkata, memandangkan Anwar didapati tidak bersalah, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa hak Mohd. Saiful untuk membuat rayuan dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

''Apakah dalam negara ini pembesar pembangkang mempunyai hak istimewa bahawa keadilan hanya berlaku apabila ia didapati tidak bersalah? Apakah dalam negara ini mangsa yang kerdil tidak berhak kepada keadilan sehingga dia tidak boleh merayu untuk didengar oleh mahkamah yang lebih tinggi?

''Apakah di negara ini keengganan pembesar pembangkang mengangkat sumpah bukan sahaja di masjid dengan menjunjung al-Quran tetapi semasa dibicara dalam mahkamah biasa tidak mempunyai apa-apa makna terutama kepada orang Islam dan sumpah laknat oleh si kerdil juga tidak boleh diambil kira?

''Atau apakah menjadi satu daripada perjuangan pembangkang bahawa apa yang disarankan oleh Anwar dalam BBC bahawa undang-undang negara ini sudah lapuk dan perlu ditukar kepada kebebasan untuk meliwat mengikut liberalisme Barat?," soal beliau.


sumber :UTUSAN

No comments:

Post a Comment