Friday, March 30, 2012

Akses ilmu bahasa lain

Bangsa Melayu usah terlalu fanatik terhadap bahasa ibunda sendiri, malah disaran turut mempelajari dan menguasai bahasa lain supaya dapat mengakses ilmu pengetahuan daripada bahasa berkenaan.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, disebabkan bahasa memainkan peranan penting untuk mendapatkan ilmu, sesuatu bangsa bukan saja perlu menguasai bahasa bangsanya malah bahasa bangsa lain.


Menurutnya, orang Arab satu ketika dulu mempelajari bahasa Greek, malah orang Eropah turut belajar bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu.

“Dengan itu kita perlu mempelajari bahasa lain. Kalau kita terlalu fanatik dengan bahasa kita, kita takkan dapat mengakses ilmu dalam bahasa lain.


“Hari ini bahasa ilmu bukan lagi bahasa Arab dan Greek, malah bahasa Inggeris. Di zaman ini kita terpaksa mengakui bahasa Inggeris bahasa ilmu,” katanya dalam ucaptama bertajuk Bahasa- Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu sempena perasmian Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa, di sini, semalam.


Hadir sama, Tun Dr Hasmah Mohd Ali; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah), Jafperi Othman dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Brig Jen Datuk Profesor Dr Kamarudin Hussin.


Dr Mahathir berkata, orang Melayu yang mempelajari bahasa Inggeris dan bertutur kata dalam bahasa berkenaan tidak bermakna tidak Melayu. “Hari ini bahasa Melayu belum menjadi bahasa ilmu. Tidak bermakna kita kurang nasionalis atau kurang Melayu semata-mata kita bertutur fasih bahasa Inggeris,” katanya, sambil menegaskan bahasa turut memainkan peranan lebih kepada pengiktirafan Melayu.


Dr Mahathir berkata, seseorang yang bertutur bahasa Melayu, beradat resam Melayu dan beragama Islam akan diiktiraf sebagai Melayu yang tulen.

sumber :Harian Metro

SEMINAR PENDIDIKAN MELAYU ANTARABANGSA (SePMA II)















SEMINAR PENDIDIKAN MELAYU ANTARABANGSA (SePMA II)

OBJEKTIF

Memahami perkembangan dan cabaran kemajuan Pendidikan Melayu di Malaysia & Peringkat Antarabangsa
Menilai semula senario semasa tentang kedudukan Pendidikan Melayu di Malaysia & Antarabangsa
Membincangkan halatuju pendidikan Melayu pada masa kini

SKOP SEMINAR

Skop perbincangan yang akan dibentangkan dalam persidangan ini terdiri daripada;
Prestasi Pendidikan Melayu Masa Kini dari perspektif Global
Transformasi Pendidikan Bangsa Melayu
Pendidikan Melayu dalam Konteks 1 Malaysia
Modal Insan Pelajar Melayu ke arah kemajuan pedidikan
Cabaran Generasi Melayu dalam pedidikan: Perspektif Sejarah
Inovasi Pendidikan Ke Arah Kecemerlangan Melayu
Bahasa: Penghalang atau Kelebihan Kejayaan Melayu

sumber :

https://www.facebook.com/DATUK.MOHD.ALI.RUSTAM

Mahathir: Lapang dada terima profesional sertai Umno


Kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam Umno.

"Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS.

"Ini akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Budaya Global anjuran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bekas Presiden Umno itu berkata Umno harus mengamalkan meritrokasi dalam pemilihan pemimpin untuk bertanding dalam pilihan raya umum termasuk calon luar parti bagi menentukan kemenangan dan bukannya calon di peringkat tertinggi bahagian sahaja.

"Kita nak orang berbakat dan berkebolehan (bertanding), barulah kita boleh dirikan kerajaan yang berwibawa," katanya sambil mengakui sekatan golongan profesional menyertai Umno berlaku semasa beliau sebagai pemimpin parti.

Dr Mahathir berkata kepimpinan Umno harus sedar bahawa kemenangan dalam sesuatu pilihan raya itu ditentukan oleh pengundi yang bukan ahli Umno.

"Kalau semua ahli Umno mengundi Barisan Nasional (BN) pun tak cukup untuk mencapai kemenangan, dia kena dapat sokongan orang luar daripada Umno, baru calon itu boleh menang," katanya.

Beliau berkata Umno hari ini tidak memberi peluang kepada orang luar terdiri daripada golongan cerdik pandai itu kerana keengganan ahli Umno di bahagian itu sendiri untuk menyokong calon seumpamanya.

"Sepatutnya kita terima calon yang baik ini sama ada mereka anggota parti atau tidak," katanya.

Dr Mahathir berkata Umno pada masa depan mesti merestui golongan profesional dan cerdik pandai menyertai parti itu dan tidak seperti pada masa kini di mana mereka disekat daripada menyertainya.

sumber - Bernama

Mahathir: Sukar nak ramal keputusan PRU13

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan".

Beliau berkata pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.

"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap utama bertajuk 'Bahasa - Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu' pada Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa di sini.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris bukan bermaksud seseorang itu perlu melupakan bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa.

"Bahasa Melayu mesti terus dipupuk kerana mungkin satu hari nanti ia akan menjadi bahasa ilmu tetapi hakikatnya ketika ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris, jadi kita perlu menguasainya," kata beliau.

Dr Mahathir berkata peranan bahasa di zaman moden ini juga bukan sekadar menjadi penentu identiti sesuatu bangsa tetapi juga untuk menjadikan bangsa itu sebagai bangsa terpelajar.

sumber - Bernama

Thursday, March 29, 2012

Isu Hudud



Ustaz Fathul Bari Komen Tun M

Wednesday, March 28, 2012

Global Culture Generate World Unity-Melaka









source :

https://www.facebook.com/datuk.seri.mohd.ali.rustam

Tuesday, March 27, 2012

Dr Mahathir terima anugerah Tokoh Pereka Negara

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini menerima Anugerah Tokoh Pereka Negara sebagai menghargai sumbangan beliau dalam membangunkan Malaysia menerusi bidang inovasi reka bentuk.

Anugerah itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Good Design Mark (MGDM) 2011 anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) di sini. Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir dalam ucapan penerimaannya berkata beliau berharap produk tempatan akan mendapat sambutan di seluruh dunia bukan saja kerana kehebatan kualitinya, tetapi juga dari segi reka bentuk.

"Saya amat bersyukur kerana saranan yang dibuat pada 1969 supaya kita utamakan aspek perekaan disambut baik dan diteruskan sampai hari ini.

"Memang kita selalu cipta sesuatu yang cukup berguna, tetapi untuk diterima dengan baik, kita perlu buat reka bentuk yang baik kepada pelanggan. Saya berharap MRM berusaha beri keutamaan mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Maximus berkata anugerah tersebut adalah sebagai menghargai jasa Dr Mahathir menubuhkan MRM pada 1993 bagi meningkatkan daya saing produk keluaran tempatan menerusi inovasi bagi membolehkan ia bersaing di peringkat antarabangsa.

Pada majlis itu, sebanyak 17 syarikat tempatan menerima pengiktirafan MGDM 2011 atas kejayaan menghasilkan produk kreatif, inovatif dan mempunyai reka bentuk menarik.

Sebanyak 80 produk pelbagai kategori diterima untuk penilaian, dan daripada jumlah itu, 30 didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan bagi menerima MGDM 2011.

sumber - Bernama