Tuesday, September 15, 2015

WAHAI AHLI UMNO

Oleh Dr Mahathir Mohamad

1.Najib mendesak supaya kamu menyokong dirinya untuk kemenangan PRU14.
2.​Malangnya menyokong Najib sebagai Ketua UMNO lebih menentukan kekalahan UMNO dan bukan kemenangan.
3.​UMNO tidak pernah menang semata-mata kerana sokongan ahli-ahlinya. Jumlah ahli dalam mana-mana kawasan tidak mencukupi untuk memberi kemenangan bagi calon UMNO. Tidak pernah ahli UMNO melebihi separuh dari jumlah pengundi dalam mana-mana kawasan.
4.​Yang memberi kemenangan kepada calon UMNO ialah orang Melayu, yang percaya kepada perjuangan UMNO, tetapi tidak menyertai UMNO. Orang Cina dan India juga menyumbang kepada kemenangan calon UMNO.
5.​Sekarang semua mereka ini sudah tidak percaya lagi kepada UMNO. Mereka benci Najib dan mereka percaya Najib mengguna wang untuk membeli sokongan pemimpin-pemimpin UMNO. Ini diakui oleh beberapa Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen secara terbuka. Apabila pembangkang menamakan pemimpin UMNO yang telah disogok, tidak ada penafian dibuat oleh sesiapa.
6.​Tindakan Najib menghalang siasatan keatas wang 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram. Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan.
7.​Pentadbiran Najib menyebabkan nilai Ringgit jatuh sehingga harga barang semua naik, inflasi tinggi, dan saham jatuh harga. Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok dengan GST yang menyebabkan harga barangan dan khidmat naik lagi.
8.​Mereka yang ada anak belajar di luar negari terpaksa tambah Ringgit yang merosot nilai dari 4 Ringgit bagi 1 Pound kepada hampir 7 Ringgit 1 Pound.
9.​Pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak RM42 billion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbillion Ringgit sudah tidak dapat dikesan. Yang diketahui ialah Najib memiliki wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian. Sekarang wang ini telah dipindah entah kemana. Apabila siasatan dibuat oleh badan Kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini.
10.​Sesungguhnya majoriti rakyat menolak dan benci Najib sebagai Perdana Menteri. Mereka tidak dapat terima dakwaan Najib bahawa 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaunnya adalah derma orang Arab.
11.​Dalam PRU14 mereka semua, Melayu, Cina dan India akan tolak BN kerana kepimpinan Najib. UMNO akan hancur kerana ramai dari ahli UMNO tidak dapat terima Najib dan perbuatannya. Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi.
12.​Sebaliknya jika Najib tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan memimpin BN, besar kemungkinan BN dan UMNO akan menang. Perasaan benci rakyat tidak tertumpu kepada UMNO atau BN. Mereka tidak terima Najib dan kemarahan mereka hanyalah kepada Najib dan beberapa pemimpin UMNO yang membodek kerana hendak jawatan atau lain-lain.
13.​Ahli-ahli UMNO yang sayang dan ingin UMNO kekal dan berkuasa perlu tolak Najib sebelum pilihanraya. Jika penolakan ini dibuat terlalu lewat, masa untuk pemulihan UMNO tidak mencukupi.
14.​Jika sayang UMNO tolak Najib sekarang. Jika sayang Najib, UMNO akan hilang kuasa dan berkecai.



http://chedet.cc/

No comments:

Post a Comment