1. Saya hadir dalam tunjuk perasaan anjuran Bersih pada 29-30 Ogos. Ramai yang tertanya-tanya apakah saya sudah jadi penyokong Bersih. Apakah saya sokong parti lawan DAP dan Kit Siang. Ada juga yang bertanya saya sudah
memihak kepada orang Cina.
memihak kepada orang Cina.
2. Saya pernah menyatakan demonstrasi jalanan tidak harus diguna untuk tekanan politik kerana ia menjejaskan perniagaan terutama perniagaan kecil dan ekonomi Negara. Apakah sekarang perbuatan saya tidak menunjuk sifat berdolak-dalik dalam politik.
3. Saya tidak setuju dengan tunjuk perasaan kerana ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menekan Kerajaan apabila menyalahguna kuasa.
4. Kita boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan Pendakwa Raya akan ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.
5. Tetapi sekarang Najib sudah bubar dan musnahkan institusi-institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat.
6. Apabila dituduh telah lesapkan duit Kerajaan melalui 1MDB, Najib serah siasatan kepada Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC – Public Accounts Committee) Dewan Rakyat. Rakyat disuruh tunggu sehingga siasatan oleh badan-badan ini selesai.
7. Apabila wang sebanyak RM2.6 bilion terdapat dalam akaun peribadi Najib, dan dia tak dapat menafi duit ini ada dalam akaunnya, dan ramai bertanya daripada mana duit ini datang, dan penjelasan yang munasabah tidak dapat diberi oleh Najib, maka satu pasukan bertugas (task force) dibentuk untuk secara rasmi menyelidik wang ini.
8. Pasukan ini terdiri daripada Pendakwa Raya, Ketua Polis Negara, Ketua Badan Pencegah Rasuah dan Gabenor Bank.
9. Rakyat menunggu hasil siasatan ini. Tiba-tiba Pendakwa Raya disingkir oleh Najib, Ketua Badan Pencegah Rasuah diarah bercuti, dan Gabenor Bank diugut kononnya kerana Bank Negara bocor maklumat. Dan terhentilah siasatan oleh badan ini.
10. Di masa yang sama Pengerusi PAC dan tiga lagi ahli diberi jawatan dalam Kerajaan dan siasatan berkenaan wang 1MDB oleh PAC pun dihentikan.
11. Beberapa pegawai polis dan lain-lain pegawai dipindah ke jawatan lain supaya tidak lagi dapat meneruskan siasatan.
12. Yang ditinggal dan yang baru dilantik adalah orang yang tidak tunjuk minat untuk membuat siasatan, bahkan sengaja menghalang apa-apa siasatan terhadap 1MDB dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Najib.
13. Semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib sudah tidak lagi ada.
14. Sebaliknya Najib dan konco-konconya sering mendakwa duit RM2.6 bilion adalah derma. Tidak pula diperkenalkan penderma, punca kekayaannya, bentuk wang yang diberi, bank yang terlibat dan lain-lain butiran. Sebenarnya dakwaan ini tidak boleh diterima akal.
15. Kepada pemimpin UMNO Najib mendakwa bahawa RM2.6 bilion ini adalah untuk pilihanraya ke-14. Jika untuk parti belanja membeli nasi lemak atau minuman atau sewa kereta seperti dahulu, jumlah ini beratus kali ganda wang yang diperlukan.
16. Tetapi untuk sogok pemimpin dan ahli Dewan Rakyat dengan berjuta tiap seorang, untuk sogok pegawai supaya menipu, besar kemungkinan wang sebanyak RM2.6 bilion diperlukan.
17. Jika Najib menang kerana sogok wang, dia akan perlu lebih banyak wang lagi untuk mengekalkan dirinya sebagai PM dan untuk PRU 15. Dari mana akan datang berbilion lagi jika tidak secara haram. Malaysia akan diperintah oleh seorang Perdana Menteri yang bergantung kepada rasuah. Najib sendiri berkata “Cash is King” “Wang Tunai adalah Raja”. Raja inilah yang disembah oleh Najib.
18. Najib akan nafi tetapi keadaan Negara sekarang amat buruk. Hubungan kaum tegang. Nilai Ringgit dan saham jatuh dengan teruknya jauh lebih teruk dari Thailand, Singapura dan lain-lain Negara. Kos sara hidup melambung naik kerana GST dan lain-lain. Hutang Negara bertimbun dan lain-lain.
19. Inilah masa depan Malaysia jika Najib kekal. Segala cara menukar Perdana Menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara sudah ditutup oleh Najib. Hanya dengan suara keramat rakyat dibantu dengan undi tidak percaya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan Najib dan menyelamatkan Negara daripada perasuah.
20. Oleh itu saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang bertema singkirkan Najib kerana rasuah, dan saya rayu kepada ahli Dewan Rakyat UMNO dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti.
21. Selagi Najib berkuasa semala itulah ekonomi merosot, nilai Ringgit jatuh, saham jatuh, kos sara hidup meningkat kerana GST, hutang Negara bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah, berbilion duit rakyat disalahgunakan.
22. Inilah nasib yang menunggu Malaysia kerana Najib.
http://chedet.cc/
No comments:
Post a Comment