Sunday, February 23, 2014

MAJLIS PERASMIAN EKSPO KEUSAHAWANAN PELAJAR

Penyampai:DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk:MAJLIS PERASMIAN EKSPO KEUSAHAWANAN PELAJAR
Lokasi:CHANGKAT PAVILLION, KUALA LUMPUR
Tarikh:07-12-1985
 
Yang Berhormat Dato' Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pelajaran; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala dan berasa amat besar hati pada hari ini kerana dijemput untuk berucap dan merasmikan Ekspo Keusahawanan Pelajar '85.

Inilah kali yang pertama Ekspo seperti ini diadakan. Keusahawanan atau 'entrepreneurship' ialah satu perkara yang sangat saya minati kerana saya yakin sepenuhnya bahawa mutu kehidupan kita keseluruhannya bergantung kepada keupayaan kita dalam bidang perdagangan. Malahan Nabi besar kita Muhammad S.A.W. pernah bersabda, yang bermaksud; "sembilan per sepuluh daripada rezeki kita datangnya daripada perniagaan".

2. Bulan November yang lalu merupakan satu bulan yang penuh dengan kegiatan-kegiatan yang berhubung rapat dengan usahawan dan keusahawanan. Satu rombongan usahawan telah mengadakan lawatan ke Oman untuk membuka jalan bagi perdagangan dengan negara tersebut. Satu rombongan lagi telah bersama-sama dengan saya semasa saya membuat lawatan rasmi ke negara China. Satu Seminar Usahawan Bumiputera telah diadakan di Kuala Lumpur. Telefon buatan Malaysia telah juga dipamerkan di Pusat Perdagangan Dunia Putra. Sebuah syarikat tempatan telah melancarkan komputer pertama buatan Malaysia - Accent 2001. Hadiah Usahawan Malaysia 1985 dengan menamakan 10 Usahawan Negara yang terulung telah juga diadakan. Semuanya itu memberi harapan baik kepada Malaysia. Kita dapat meyakinkan diri sendiri bahawa ada orang-orang kita yang sanggup dan berani menjadi peneroka mencuba berbagai-bagai bidang untuk memajukan diri masing-masing dan negara seterusnya.

3. Pada hari ini pula kita berhadapan dengan satu lagi kegiatan usahawan; cuma pada kali ini kita berhadapan dengan pelajar-pelajar sekolah. Namun begitu usaha-usaha yang telah dijalankan bagi mengadakan Ekspo selama tiga hari ini seharusnya mendapat sokongan dan sanjungan daripada kita semua. Saya difahamkan Kementerian Pelajaran telah berusaha sedaya upaya supaya Ekspo ini tidak merupakan satu lagi temasya 'food and funfair' yang selalu kita saksikan di sekolah-sekolah, ataupun tidak merupakan satu lagi Pekan Air Hitam di Johor, atau satu lagi Pekan Rabu di Kedah.

4. Semua kegiatan yang terlibat; dari persiapan awal merangka kertas kerja, membawa kepada persiapan gerai dan kegiatan jualan, saya percaya akan memberi satu pengalaman yang amat berkesan kepada pelajar-pelajar yang mengambil bahagian. Saya berharap daripada kumpulan ini, dan daripada kumpulan-kumpulan yang akan mengadakan Ekspo di peringkat negeri di seluruh negara akan lahirlah satu barisan usahawan yang sanggup menghadapi cabaran-cabaran pada masa yang akan datang kelak.

5. Di sini ingin saya jelaskan sedikit makna usahawan, kerana nampaknya ramai yang terkeliru antara usahawan dengan 'entrepreneur' yang boleh ditafsir sebagai peneroka dalam bidang perniagaan atau industri. Usahawan sebenarnya bermakna 'industrialist', seorang yang melibatkan dirinya dengan perusahaan termasuk pembuatan barang. Keusahawanan pula ditafsir sebagai 'entrepreneurship' yang bermakna kebolehan memula atau mencuba sesuatu perniagaan atau perusahaan. Memandang kepada kekeliruan ini maka eluklah jika dalam konteks Ekspo ini kita tentukan maksud Keusahawanan.

6. Tafsiran yang perlu kita tentukan ialah Keusahawanan bermakna 'entrepreneurship' atau kegiatan meneroka sesuatu perniagaan, sama ada berbentuk perdagangan atau pembuatan barang. Daripada tafsiran ini maka seseorang yang memulakan perniagaan yang berbentuk penerokaan adalah juga usahawan, walaupun dalam konteks lain usahawan diberi makna 'industri- alist' iaitu seorang yang mengambil bahagian dalam industri.

7. Pentingnya unsur penerokaan dalam kegiatan keusahawanan atau 'entrepreneurship' ialah seorang entrepreneur bukan sahaja berniaga tetapi ia meneroka satu jenis atau cara perniagaan yang agak baru. Umpamanya membuka kedai makan adalah perkara biasa. Tetapi mengadakan rantaian kedai makan secara 'franchise' dengan jenis makanan yang tetap adalah satu cara baru di Malaysia. Begitu juga khidmat hantar bungkusan biasanya dibuat oleh pejabat pos. Oleh kerana khidmat ini tidak memuaskan, maka ada entrepreneur yang memasuki bidang ini dengan khidmat yang lebih cepat dan terjamin. Sebuah syarikat di Jepun umpamanya berjanji akan membayar balik bayaran yang dikenakan jika bungkusan sampai satu minit lewat daripada yang dijanjikan. Ada peniaga yang memberi khidmat 24 jam sedangkan biasanya khidmat itu adalah pada waktu siang sahaja. Dahulu hotel diurus oleh tuan punyanya. Tetapi sekarang wujud peniaga yang bercadang untuk mengurus dengan baik hotel kepunyaan orang lain. Dalam bidang pembuatan, ramai entrepreneur yang mengeluarkan barang yang tidak pernah dipasarkan dahulu, atau menggunakan cara baru seperti Ford dengan sistem 'mass production' dan lain-lain lagi.

8. Jelaslah bahawa entrepreneur adalah berbeza sedikit daripada peniaga biasa. Di Malaysia entrepreneur tidak begitu ramai kerana amalan di negara kita ialah jika seorang menjual buku, maka semua akan jual buku; jika seorang jual burger, semua jual burger, jika seorang buka bengkel memperbaiki kereta, semua akan membuka bengkel memperbaiki kereta. Tidak siapa yang memikir untuk menjual buku cara baru, atau menjual burger cara baru, atau mengadakan bengkel jenis baru. Kesan daripada kesesakan dalam satu-satu bidang perniagaan ialah semua peniaga tidak mendapat pelanggan yang cukup.

9. Di kalangan bumiputera di negara kita terdapat cuma beberapa jenis perniagaan sahaja. Sebaliknya kita tahu bahawa ada beribu-ribu jenis perniagaan. Ini berlaku kerana kurang terdapat entrepreneur di Malaysia. Yang ada ialah peniaga biasa sahaja.

10. Perniagaan mempunyai seribu satu liku dan butiran yang semuanya memerlukan pengenalan dan kajian. Seorang entrepreneur bukan sahaja akan mengenali butiran-butiran dengan mendalam tetapi akan dapat mengguna pengetahuan ini untuk memperbaiki lagi pencapaian perniagaannya. Dengan perkataan lain seorang entrepreneur akan dapat meningkatkan kecekapan perniagaannya, supaya ia dapat bersaing dengan peniaga lain dengan lebih berjaya. Sebab itu syarikat yang lemah boleh berjaya selepas pengurusannya bertukar tangan. Sebaliknya syarikat yang baik dan untung, jika pengurusannya diambil-alih oleh seorang yang bukan entrepreneur, akan gagal.

11. Seorang entrepreneur akan tahu kesan rancangan jangka panjang dan nilai-nilai yang baik yang diamalkan olehnya. Tidak ada seorang entrepreneur yang lokek, penipu dan tidak beramanah. Peniaga boleh menipu dalam jangka yang pendek tetapi tidak lama selepas itu ia akan dikenali dan nasib yang buruk akan menimpanya.

12. Daripada beberapa perkara yang telah saya sebutkan jelaslah entrepreneur bukanlah peniaga biasa. Ia adalah peniaga istimewa yang mempunyai kebolehan dan sifat-sifat yang baik, yang cekap dan rajin. Seorang peniaga atau pengusaha tidak semestinya menjadi entrepreneur.

13. Hanya dengan mengetahui bagaimana membuat sesuatu barang belum tentu akan menjadikan sesaorang itu pengusaha, jauh sekali menjadi entrepreneur. Barang boleh dibuat dan dijual dan laris pula jualannya. Tetapi belum tentu ada untung. Belum tentu perniagaan akan membesar dan berkembang maju. Lebih mungkin ialah dengan bertambahnya keluaran, bertambah pula hutang, akhirnya mungkin bertambah rugi.

14. Seorang pengusaha perlu tahu bagaimana cara hendak mengurangkan kos ke tahap yang maksima. Tetapi pengurangan ini mesti ditentukan kepada bidang-bidang yang tidak akan menjejaskan mutu dan daya penarik barangan yang dikeluarkan. Jika pengurangan kos dibuat melalui penurunan kualiti bahan, atau jenis bekas, atau iklan akibatnya mungkin penjualan tidak akan laris. Pengusaha tempatan kerap kali mencari jalan ini untuk mengurangkan kos. Sebaliknya barang buatan luar negeri menekankan kualiti bungkusan dan iklan yang amat menarik. Pengurangan kos oleh pengusaha luar negeri ialah melalui peningkatan produktivitinya. Kita tidak dapat berbuat demikian kerana kita suka berniaga bersendirian dengan syarikat kecil yang kurang modal. Berpuluh-puluh syarikat kecil mengeluarkan cili sos di Malaysia sedangkan adalah lebih baik kita ada satu dua sahaja yang besar yang cukup modal dan dapat mengurangkan kos melalui 'economies of scale'.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

15. Satu lagi perkara yang perlu dititik-beratkan ialah peranan pelajaran berniaga. Ramai yang berpendapat bahawa berniaga tidak perlu dipelajari. Siapapun boleh berniaga. Ramai daripada millionaire di Malaysia tidak belajar berniaga, bahkan tidak ada pelajaran tersebut. Memang benar bahawa ramai juga ahli perniagaan yang tidak belajar berniaga secara formal. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua peniaga tidak perlu belajar berniaga. Dalam keadaan ekonomi masyarakat moden yang begitu kompleks pengurusan tidak lagi mudah. Ia memerlukan kebolehan dalam bidang pengurusan kakitangan, pengurusan projek, pengurusan kewangan, fahaman berkenaan dengan bahan, proses dan kos dan sebagainya. Pengetahuan ini boleh diperolehi melalui pengalaman semata-mata tetapi pembelajaran boleh memendekkan proses pengalaman.

16. Sebab itulah Kerajaan telah menubuh sebuah universiti khusus untuk mengajar pengurusan. Tugas Universiti Utara Malaysia ialah untuk membekalkan negara dengan bakal pengurus yang berkelayakan. Selepas mendapat ijazah mereka masih memerlukan pendedahan kepada kerja pengurusan buat beberapa lama untuk mendapat pengalaman. Harapan kita ialah kita akan mempunyai lebih ramai pengurus yang berkebolehan dalam jangka yang lebih singkat. Dengan ini mungkin kerugian yang kita alami sekarang baik dalam syarikat Kerajaan atau swasta dapat dikurangkan.

17. Universiti Utara Malaysia bukanlah institusi tunggal untuk melatih pengurus. Banyak institusi lain yang terlibat dengan memberi latihan perniagaan yang tidak kurang pentingnya. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa institusi dan kursus tidak dengan sendirinya menjamin kejayaan. Tidak kurang pentingnya ialah sikap mereka yang mengambil kursus.

18. Mereka mestilah sedar bahawa kursus itu berguna untuk realiti kehidupan dalam masyarakat. Kursus bukan bertujuan untuk mendapat sijil dan ijazah yang cantik yang boleh menghiasi pejabat atau rumah bersama-sama dengan gambar konvo. Sijil juga bukan sebagai kunci untuk membuka pintu pejabat supaya kita dapat peluang bekerja dengan gaji tertentu. Yang penting ialah aplikasi segala ilmu yang telah dipelajari untuk urusan kerja supaya kerja mendatangkan hasil yang diharapkan. Gaji yang besar dan pangkat yang tinggi tidak bermakna jikalau kerja yang dijalankan tidak bermutu dan kerugian dialami sepanjang masa.

19. Bagi bumiputera pula janganlah fikir bahawa semuanya patut dimudahkan oleh Kerajaan supaya kejayaan tetap tercapai setelah mendapat ijazah dan kelulusan. Tanggungjawab Kerajaan ialah untuk memberi 'headstart' melalui bekalan ilmu. Selepas itu menjadi tanggungjawab masing-masing mencari kejayaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

20. Saya belum pasti apakah maksud dan bentuk Ekspo Keusahawanan Pelajar ini. Sebagai bakal pengusaha tentulah kita merancang untuk mencari keuntungan daripada usaha ini. Kita tidak harus berharap kepada derma, kerana meminta derma bukanlah petanda yang baik bagi bakal pengusaha dan entrepreneur. Kita sebagai entrepreneur mesti bergantung kepada kecekapan kita untuk mendapat untung. Kita juga mesti menjaga maruah kita sepanjang masa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

21. Saya berdoa supaya Ekspo Keusahawanan ini akan menolong meningkatkan lagi kecapaian pelajar dalam bidang tertentu. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Ekspo Keusahawanan Pelajar ini.

SUMBER :
http://www.pmo.gov.my/

No comments:

Post a Comment