Tuesday, December 11, 2012

Subsidi perlu dikaji semula


Sistem pemberian subsidi di negara ini perlu dikaji semula bagi memastikan subsidi yang diberikan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, kata Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata pemberian subsidi sekarang antaranya subsidi petrol tidak betul-betul sampai kepada golongan yang memerlukan kerana mekanisme pengagihan subsidi itu kurang berkesan menyebabkan mereka yang tidak layak turut menerimanya.
"Bila seseorang ada kereta besar mereka boleh isi banyak petrol dalam kereta maka dia dapat banyak subsidi petrol berbanding mereka yang ada kereta kecil boleh isi sikit petrol jadi dapat subsidi sedikit.
"Walhal kita tahu rakyat kita yang ada kereta besar majoritinya pendapatan tinggi dan kereta kecil pendapatan rendah, jadi subsidi itu tidak sampai betul kepada yang memerlukan," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan ucapan bertajuk 'Transformasi Luar Bandar : Peranan Pentadbir Daerah' pada Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah Siri 2/2012, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Mutiara Damansara di sini.
Dr Mahathir berkata kajian semula itu juga perlu mengambil kira pelaksanaan mekanisme pengurangan subsidi secara berkesan dan berperingkat bagi memastikan rakyat mampu bebas daripada kebergantungan kepada subsidi dan menjadi rakyat mempunyai daya saing tinggi.
"Subsidi ini bagaikan sebuah tongkat yang kerajaan berikan kepada rakyat. Bagi rakyat yang patah kaki, maka tongkat ini amat berguna buat mereka, tetapi bagi mereka yang sempurna mereka lebih suka bersandar kepada tongkat ini kalau kerajaan bagi.
"Bersandar kepada tongkat memang tak rasa penat tetapi bila kita dah terbiasa lama-lama kita susah nak lepas dan kita tak boleh berjalan ke depan dengan sempurna," katanya.
Beliau berkata pengurangan subsidi perlu dilakukan secara berperingkat kerana pengurangan subsidi secara terus akan membuatkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan yang bakal naik secara mendadak.
Katanya hasil lebihan dana hasil pengurangan subsidi itu mampu disalurkan bagi kegunaan lain untuk rakyat terutamanya kepada pembangunan infrastruktur rakyat seperti sekolah, hospital dan perumahan rakyat.
"Namun saya berpendapat pengurangan subsidi ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, masa saya dulu kita pegang majoriti (2/3) mudah kita laksanakan dan kita salurkan untuk kegunaan rakyat yang lain, kalau kerajaan lemah takut rakyat tak undi bila kurangkan subsidi, ini masalah juga.
"Sebenarnya ini berbalik kepada mentaliti rakyat itu sendiri, orang kita ini bila tambah subsidi memang suka semuanya bila kurang mulalah nak meletup, mereka tak tahu kurangkan (subsidi) kita dapat salurkan untuk kegunaan lain untuk mereka juga, rakyat perlu tukar mentaliti ini," katanya.

SUMBER  - Bernama

No comments:

Post a Comment