Saturday, March 3, 2012

Gaji minimum: Dr M bimbang Malaysia boleh muflis

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang Malaysia mungkin menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis seperti Barat jika kerajaan membayar lebih untuk kurang bekerja.

Beliau berkata, ini boleh berlaku apabila gaji atau pampasan untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.

"Kita semua mahu menyaksikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Namun kita mesti juga bimbang mengenai daya persaingan kita.

"Menambah pendapatan mesti meningkatkan kos pengeluaran melainkan produktiviti turut bertambah," katanya dalam entri terbaru dalam blog beliau di bawah tajuk Gaji Minimum, hari ini.

Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum bulan ini.

Beliau berkata Barat kini menghadapi masalah kewangan yang gawat dengan sekurang-kurangnya sebuah negaranya menjadi bankrap selepas membayar lebih kepada rakyat mereka.

"Upah dan gaji yang tinggi, bonus yang besar dan pelbagai manfaat seperti bayaran untuk pengangguran menjadikan nagara Barat kelihatan makmur. Tetapi cara boros mereka tidak boleh berterusan.

"Saya bimbang Malaysia mungkin menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk kurang bekerja, seperti yang kita lakukan sekarang," kata beliau.

Dr Mahathir berkata dengan Malaysia mempunyai terlalu banyak cuti, termasuk cuti hujung minggu dan cuti umum untuk perayaan bagi semua agama, produktiviti akan menurun.

"Kita sekarang menggantikan secara automatik cuti umum yang jatuh pada Ahad atau Sabtu dengan hari yang lain.

"Jadi bukan mudah untuk meningkatkan produktiviti dengan pertambahan gaji minimum yang akan meningkatkan kenaikan bayaran secara keseluruhan, agar dapat mengekalkan persamaan antara gred pekerja yang berbeza.

"Bekerja pada hari cuti akan turut memakan kos lebih. Begitu juga dengan sumbangan kepada KWSP dan kadar pencen," katanya dipetik Bernama.

Dr Mahathir berkata antara gaji lebih tinggi dan masa bekerja yang lebih pendek dicampur dengan kos yang lain, maka kos pengeluaran barangan dan perkidmatan mesti turut meningkat dengan sewajarnya.

sumber : SINAR HARIAN

Malaysia kini galas penampilan sebagai negara maju - Dr. M

Malaysia kini menggalas penampilan sebagai sebuah negara dan wawasan pembangunannya dilaksanakan dengan jelas secara berperingkat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun wawasan Malaysia mungkin tidak sesuai untuk semua negara, terdapat beberapa elemen yang boleh diguna pakai oleh semua yang berhasrat menjadi negara maju.

"Saya percaya salah satu punca pemberontakan di negara Arab ialah kegagalan kerajaan menjaga keperluan rakyat,” katanya dalam ucapan beliau bertajuk “Vision in the Development of a Nation” di Forum Ketiga Kumpulan Pemikir Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Baku, Azerbaijan hari ini.

Dr. Mahathir berkata, keperluan paling utama di sesebuah negara ialah pekerjaan untuk memperoleh pendapatan stabil bagi menyara kehidupan yang baik, dan pertanian tidak mampu mewujudkan peluang mencukupi berbanding industri.

"Sehektar tanah pertanian mungkin boleh menyara seorang individu, namun ia boleh menampung 500 pekerja kilang.

"Itulah sebabnya Malaysia memilih industri intensif buruh memandangkan tanah tidak lagi mencukupi untuk bercucuk tanam,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, sesebuah negara tidak dianggap maju hanya disebabkan pendapatan perkapitanya tinggi, dan kerana itu, kebanyakan negara pengeluar minyak tidak dianggap sebagai negara maju.

sumber - BERNAMA

Friday, March 2, 2012

DRB-Hicom perlu transformasikan Proton - Dr. M

DRB-Hicom Bhd. disaran supaya mengubah Proton Holdings Bhd. dan meninjau cara-cara untuk memulihkan kerugian fiskal semasa syarikat berkenaan.

Ketika membuat saranan berkenaan, bekas Perdana Menteri dan penasihat kepada pembuat kereta nasional itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengurusan baru selepas pengambilalihan, yang dijadualkan siap bulan ini, perlu membawa syarikat automotif negara itu ke era kegemilangannya.

"Jelas sekali, anda (DRB-Hicom) perlu meningkatkan organisasi, meneliti semua kerugian untuk melihat bagaimana anda boleh memulih kerugian.

"Secara umumnya, syarikat baru perlu melihat semua aspek pengurusan Proton kerana ia lemah dalam semua sudut,” kata Dr. Mahathir kepada Bernama dalam satu temu bual.

Kerugian sebelum cukai pembuat kereta nasional meningkat kepada RM84.054 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Dis., 2011 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM51.535 juta pada tempoh yang sama pada 2010.

Pendapatan untuk tempoh berkenaan juga berkurangan kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya.

Perolehan bagi tempoh sembilan bulan pertama juga susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion berdasarkan kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM36.530 juta daripada keuntungan pra-cukai sebanyak RM134.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

sumber — BERNAMA

Thursday, March 1, 2012

Dr Mahathir sindir Pas

“Sepatutnya lantik saja Lim Kit Siang sebagai Presiden Pas. Apa salahnya, dia pun warga Malaysia. Dia patriotik, jadi dia akan mengutamakan agama Islam, malah dia akan beri peruntukan untuk buat masjid dan semuanya,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau membuat sindiran itu ketika mengulas kenyataan Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad yang dilaporkan berkata, Pas bersedia menerima pemimpin bukan Islam mengisi jawatan timbalan presiden sekiranya keadaan memerlukan, berikutan dasar parti itu mengalami transformasi lebih terbuka.


Dalam nada sinis, Dr Mahathir berkata, kenyataan itu umpama menjilat ludah sendiri kerana pemimpin Pas pernah menganggap ahli Umno sebagai kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam.

“Baguslah, pasal dulu dia (Pas) kata kita (Umno) kafir. Sekarang ini, dia nak bekerjasama. Dia nak ketua dia orang bukan Islam. Kita tengok setakat manalah.


“Jadi imam pun boleh. Sekarang mereka (pemimpin pembangkang bukan Muslim) belajar agama Islam, jadi mereka boleh memberikan syarahan, petik ayat al-Quran pun boleh, jadi apa salahnya orang itu jadi Presiden Pas,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di sini, semalam.


Ditanya dakwaan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir mengenai pengundi di Kulim perlu dibayar antara RM200 hingga RM1,000 untuk mengundi Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata memang senang membuat tuduhan.

sumber : HARIAN METRO

Dr M: Teruskan projek jambatan monorel Putrajaya

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan meneruskan projek Jambatan Gantung Putrajaya yang dihentikan pada 2004.

Beliau berkata projek itu perlu diteruskan kerana pusat pentadbiran Persekutuan tersebut kini berdepan masalah kesesakan lalu intas, terutama sebelah pagi dan petang pada waktu puncak.

Dr Mahathir berkata 'hanya sedikit sahaja lagi kerja' yang perlu dilakukan bagi menyiapkan projek itu kerana kerangka asasnya, iaitu jambatan gantung dan terowong untuk monorel, telah ada.

"Saya tak rasa kos (menyiapkan monorel dan jambatan gantung) akan menjadi begitu tinggi jika kerajaan sanggup menyediakan sejumlah dana sebagai bantuan, sektor swasta pasti akan tertarik untuk melakukannya.

"Mungkin juga operasi dan penyiapannya boleh diswastakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings di Putrajaya semalam.

Beliau berkata jika sektor swasta terpaksa membina dan mengendalikan projek itu, ia akan menjadi mahal serta tidak menguntungkan.

Mengenai Putrajaya, Dr Mahathir mencadangkan beberapa elemen baru disuntik bagi memastikan pusat pentadbiran itu, terutama Putrajaya Boulevard akan lebih meriah pada waktu malam.

"Pejabat kementerian di Putrajaya Boulevard ditutup pada pukul 5 atau 6 petang dan selepas itu, tempat tersebut mati meskipun amat cantik dengan cahaya lampu.

"Jika anda berhasrat menghidupkan Putrajaya Boulevard, maka anda perlu mempunyai pembangunan komersial," katanya.

Dr Mahathir mencadangkan tingkat bawah pejabat kementerian diubahsuai menjadi kedai dan tempat pejalan kaki bagi menarik pengunjung.

"Jadikan ia mudah untuk menjalankan perniagaan dan orang ramai akan membanjiri kawasan itu serta menghidupkan Putrajaya Boulevard," katanya.

Putrajaya, yang diilhamkan Dr Mahathir, menjadi Wilayah Persekutuan ketiga Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Labuan pada 2001.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings.

Sejumlah 96 pelajar dan graduan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil bahagian dalam pertandingan yang bertujuan mempromosi elemen rekaan berasaskan kehijauan dalam perancangan bandar serta menggalakkan kreativiti di bidang rekaan seni bina selain mendapat idea daripada generasi muda dalam mewujudkan kerancakan dalam bandar.

Ahmad Askaree Dzharuddin, pemenang konsep terbaik bagi 'rumah mampu milik

alternatif' membawa pulang wang tunai RM7,000 manakala Tengku Inda Syazwi Tengku Zubir dan Anwar Fader memenangi tempat kedua serta ketiga, masing-masing menerima hadiah RM5,000 dan RM3,000.

SUMBER - Bernama

Dr. M: Akses dokumen harta wajar

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan kerajaan memberi kuasa kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan dokumen perisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan keluarga mereka sebagai sesuatu yang wajar.

Menurutnya, perkara itu sememangnya wajar dilakukan oleh semua menteri Kabinet malah amalan mengisytiharkan harta oleh anggota pentadbiran telah dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

''Baguslah. Dulu ahli Kabinet isytihar aset dekat saya, dulu semua orang kena.

''Jadi tak tahulah dulu barangkali semua miskin belaka kerana tidak ada yang memiliki aset berlebihan, melainkan Tun Daim Zainuddin, semasa dia sertai Kabinet dia sudah jadi jutawan, jadi banyaklah duit dia," katanya.

sumber : UTUSAN

Surat Mahathir kepada 3 PM Israel






Berikut ialah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin pada tahun 1993; Benjamin Netanyahu pada tahun 1997; dan Ehud Barak pada tahun 1999 seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia di sini, hari ini.

SUMBER – BERNAMA