Saturday, November 17, 2012

Tingkat keupayaan IJN - Dr. M


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan Institut Jantung Negara (IJN) diberi peruntukan lebih besar supaya boleh memiliki kelengkapan canggih untuk pembedahan pemindahan jantung dengan lebih baik, sekali gus menarik lebih ramai pesakit luar mendapatkan rawatan di negara ini.
Beliau berkata, biarpun peralatan pembedahan yang dimiliki oleh IJN ketika ini setaraf dengan hospital negara maju dan kebolehan pakarnya yang terbukti hebat, namun pusat jantung negara itu perlu diperlengkapkan dengan kemudahan berteknologi tinggi.
"IJN juga perlu menambah baik teater pembedahan khasnya supaya mampu menangani kes-kes kecemasan, sekali gus menjadikannya sebagai sebuah pusat pembedahan jantung terkemuka dunia.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian IJN sehingga kini kerana turut menjadi tumpuan negara luar menghantar pelatihnya ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ucaptama di Kongres Tahunan Persatuan Pembedahan Toraks dan Kadiovaskular Asia (ATCSA) 2012 serta majlis sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan IJN, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Pengarah Program Pemindahan Jantung Dan Paru-Paru IJN, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, selain keupayaan melakukan 4,000 pembedahan dan merawat 130,000 pesakit setahun, kejayaan IJN memberi latihan kepada pelatih dari luar negara merupakan satu kebanggaan besar bagi Malaysia.


SUMBER : UTUSAN 

No comments:

Post a Comment