Monday, November 26, 2012

Dunia wajar contohi Malaysia tangani konflik - Dr. Mahathir


Dunia wajar mencontohi kejayaan Malaysia menangani setiap konflik yang berlaku di rantau ini tanpa peperangan atau pertumpahan darah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah negara yang amat berpegang teguh dengan nilai keamanan sejagat, setiap konflik yang berlaku terutama melibatkan pertikaian sempadan perairan antara negara akan diselesaikan melalui rundingan.

Beliau berkata, sekiranya kesepakatan gagal diperoleh melalui rundingan, Malaysia dan negara-negara terbabit akan membawa isu yang menjadi pertikaian itu ke mahkamah antarabangsa dan setiap keputusan akan diterima dengan hati yang terbuka.

"Inilah yang berlaku dalam pertikaian antara kita dengan Indonesia berhubung tuntutan terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta pertikaian dengan Singapura berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh. Selepas kita melakukan rundingan kedua-dua belah pihak gagal mencapai persetujuan.


"Akhirnya kita dan dua negara terbabit bersetuju membawa isu pertikaian itu ke mahkamah antarabangsa. Keputusannya Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan berpihak pada kita manakala Pulau Batu Puteh berpihak kepada Singapura. Kita menerima keputusan itu dengan hati terbuka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Memandang ke Hadapan atau ke Belakang pada majlis makan tengah hari dengan peserta Forum Antarabangsa UMNO 2012 sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Para peserta terlibat terdiri daripada delegasi luar negara serta ahli Kelab UMNO luar negara.


Dr. Mahathir berkata, begitu juga dengan konflik yang berlaku antara Malaysia dan Thailand terhadap pertikaian satu kawasan sumber gas di sempadan perairan kedua-dua negara.


Beliau berkata, hasil rundingan Malaysia dan Thailand akhirnya bersetuju berkongsi hasil gas tersebut dengan nisbah 50:50.


"Inilah pendekatan Malaysia. Kita akan menggunakan kaedah rundingan dalam menyelesaikan konflik. Sekiranya tidak berjaya kita akan cuba gunakan pihak ketiga dan jika masih tidak berjaya kita akan membawanya ke mahkamah antarabangsa.


"Yang pasti kita tidak akan menggunakan pendekatan peperangan. Peperangan merupakan tindakan yang tidak bertamadun," ujarnya.


Pada sidang akhbarnya selepas itu, Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekiranya diadakan dalam waktu terdekat ini.


Beliau berkata, telahan itu berdasarkan suasana dan mood rakyat ketika ini, namun keadaan itu tidak dapat dipastikan mampu kekal dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan pilihan raya berkaitan dengan persepsi.


Beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk pilihan raya.


"Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya sendiri tidak perlu bertanya kepada sesiapa untuk menentukan bila pilihan raya umum mahu diadakan," katanya.


Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir secara sinis mahu membelikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat loceng supaya Menteri Besar Kelantan itu dapat melelong Putrajaya sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.


Beliau berkata, rakyat harus sedar Nik Abdul Aziz sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa Pas akan melelong Putrajaya jika menang pilihan raya kerana menganggap projek Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu adalah satu pembaziran.


Beliau pada masa sama turut merasa hairan dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menggunakan demonstrasi jalanan untuk memperjuangkan masa depan politiknya.
"Sedangkan di dalam kerajaan Anwar merupakan orang paling kuat menentang demonstrasi jalanan," 

katanya.


UTUSAN 

No comments:

Post a Comment