Saturday, March 5, 2011

Orang Melayu perlu sedia buang tongkat


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu termasuk kontraktor dan ahli perniagaan supaya bersedia membuang 'tongkat' yang diberikan oleh kerajaan sejak sekian lama kerana bantuan tersebut tidak akan berkekalan.

Menurutnya, mereka mesti berdikari dan membina kecekapan untuk maju dengan membuang anggapan akan terus mendapat pertolongan daripada kerajaan berdasarkan hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau berkata, anggapan sedemikian menyebabkan ramai orang Melayu terus mengharapkan 'tongkat' daripada kerajaan.

"Kita jangan percaya sangat bantuan yang diterima akan kekal. Kita harus ingat dan bersedia supaya suatu hari nanti apabila tiada lagi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan tiada lagi kerajaan yang bersimpati kepada kita, orang Melayu masih boleh berjaya kerana sudah menguasai kecekapan dalam bidang yang diceburi.

"Insya-Allah kalau kita sanggup bertungkus-lumus sehingga menjadi cekap, masa depan akan lebih terjamin dan kita tidak akan lagi bergantung kepada 'tongkat sakti' yang diberikan sejak sekian lama," katanya ketika berucap pada majlis jamuan amal anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah di Dewan Wawasan Jitra, di sini malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Kedah, Ahmad Fatahi Omar.

Dr. Mahathir bagaimanapun berpendapat bahawa belum tiba masanya bagi kerajaan memberhentikan bantuan kepada golongan itu kerana DEB belum lagi mencapai matlamatnya dalam memastikan orang Melayu boleh bersaing dengan kaum lain.

Katanya, meskipun terdapat usahawan Melayu berjaya tetapi majoriti daripada mereka tidak mampu bersaing dengan usahawan bukan Melayu dan sebab itu mereka masih memerlukan bantuan serta masa bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

Menurut beliau, kontraktor Melayu perlu memberikan perhatian serius dalam meningkatkan kecekapan untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan yang ditawarkan khususnya berhubung cara pengurusan kewangan.

Katanya, aspek itu amat penting jika mereka ingin mencapai kemajuan dan membina reputasi setanding dengan kontraktor lain tanpa perlu lagi mengharapkan bantuan kerajaan.

"Kelemahan orang Melayu ialah dalam bidang pengurusan wang. Apabila memperoleh wang, mereka kadang-kadang membelanjakannya dengan cara yang tidak mendatangkan pulangan sampai berdepan kerugian," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri juga menasihatkan kontraktor Melayu supaya menjadikan tawaran projek sebagai satu amanah dan wajib dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan tanpa sebarang unsur penipuan.

"Kalau kita mempunyai nama baik dalam bidang ini, pihak swasta juga akan memberi peluang kepada kita," katanya.

sumber :Utusan

No comments:

Post a Comment