Thursday, July 21, 2011

Ramai mengkafir sesama Islam kerana politik - Mahathir

KUALA LUMPUR 19 Julai - Terdapat sebahagian umat Islam di negara ini terlalu mudah dikelirukan hingga sanggup mengkafirkan sesama agama yang menjalinkan kerjasama dengan orang bukan Islam apabila pemimpin mereka berpendirian sedemikian.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka begitu fanatik dan akan mengutuk serta mengkafirkan golongan Islam yang menjalinkan kerjasama dengan bukan Islam.

Bagaimanapun katanya, jika pada esoknya pemimpin mereka mengatakan perkara sebaliknya iaitu kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan, para penyokong mereka sedia melupakan tuduhan kafir yang dilemparkan sebelum ini.

"Orang Islam seperti ini mudah dikelirukan. Sekiranya pemimpin mereka kata siapa yang menjalinkan kerjasama dengan orang bukan Islam sebagai kafir, maka kafirlah orang Islam berkenaan.

"Namun, apabila pemimpin sama mengatakan boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam pada keesokannya, maka mereka akan kata ya, sekali gus melupakan tuduhan kafir kepada pihak satu lagi," katanya.

Mahathir berkata demikian dalam blognya di http://chedet.cc/blog/ hari ini.

Dalam blog itu, beliau turut mengulas mengenai kemunduran dan kemiskinan yang dialami oleh dunia Islam ketika ini dan kegagalan negara-negara tersebut muncul sebagai negara membangun.

"Soalnya sekarang kegagalan ini bukan disebabkan agama. Islam yang dibawa oleh Rasulullah 1,400 tahun lalu telah didatangkan dengan cukup sempurna.

"Namun, selepas zaman Rasulullah, telah berlaku penafsiran tentang agama oleh para sarjana Islam yang tulen serta golongan yang mengaku pakar tetapi sebenarnya penipu.

"Keadaan ini menyebabkan sebahagian daripada penafsiran ini berbeza sama sekali dengan Islam yang sebenar," ujarnya.

Di Malaysia katanya, terdapat pertubuhan al-Arqam dan Ayah Pin yang secara terang kedua-dua fahamannya bertentangan dengan Islam.

"Dua fahaman ini mempunyai pengikut masing-masing. Mereka percaya dengan apa yang dibawa oleh kedua-dua fahaman ini. Dalam dunia Islam yang lain terdapat banyak kumpulan yang serupa dengan al-Arqam dan Ayah Pin," ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sudah tiba masanya umat Islam kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan paling utama supaya negara-negara Islam mampu bangkit seperti negara-negara yang lain.

sumber : utusan

Wednesday, July 6, 2011

Dr. Mahathir kongsi rahsia kejayaan kendali kedai roti The Loaf



Dr. Mahathir kongsi rahsia kejayaan kendali kedai roti The Loaf

SHAH ALAM 6 Julai - Meskipun mempunyai pengalaman selama 22 tahun menerajui pentadbiran negara ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bukan mudah untuk memastikan sesuatu perniagaan itu dapat berjaya.

Ini kerana, beliau sendiri mengharungi pengalaman itu apabila mengendalikan perniagaan kedai roti premium, The Loaf selepas beliau mengambil keputusan berundur daripada pentadbiran negara sejak 2003.

Bekas Perdana Menteri mencuri tumpuan kira-kira 200 hadirin yang hadir pada Kongres Industri Kecil dan Sederhana (SME) 2011 di sini apabila menceritakan rahsia kejayaannya mengendalikan kedai rotinya itu.

"Antara kunci utama untuk berjaya dalam bidang perniagaan, pemimpin (bos) sesebuah syarikat perlu kerap keluar dari bilik mereka yang berhawa dingin.

"Mereka perlu selalu keluar meninjau keadaan tempat kerja serta menjamin kualiti produk yang dihasilkan oleh pekerja sentiasa terjaga," katanya ketika berucap pada kongres tersebut di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SME Corporation Malaysia (SMECorp), Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif SACC, Datuk Zulkifli Mohamad.

Dr. Mahathir berkata, sebagai Pengerusi The Loaf, sekali-sekala beliau memilih untuk bersarapan di salah sebuah cawangan kedainya itu bagi meninjau keadaan di situ supaya ia sentiasa dapat menghasilkan produk berkualiti kepada pelanggan.

"Apabila pekerja melihat kehadiran bos mereka di tempat kerja, mereka akan lebih teliti dalam menghasilkan sesuatu produk," katanya.

The Loaf mula dibuka sejak 2006 dan memilih Langkawi sebagai destinasi untuk cawangan pertamanya dan kini ia mempunyai lima cawangan dengan empat daripadanya terletak di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menasihati setiap individu yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan supaya menyediakan wang melebihi jumlah modal yang diperlukan.

"Jika modal perniagaan itu berjumlah RM1 juta, ini bermakna anda perlu menyediakan wang sebanyak RM3 juta.

"Ini kerana, anda perlu berbelanja untuk perniagaan dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah beliau, ahli perniagaan yang mendapat pembiayaan daripada bank perlu menguruskan kewangan mereka dengan baik dan memastikan hutang tersebut dapat dibayar balik.http://www.blogger.com/img/blank.gif

"Ada segelintir pihak mempunyai tabiat tidak gemar membayar semula pinjaman dan ini adalah satu masalah yang perlu dibendung kerana ia boleh membuatkan peminjam diisytiharkan muflis.

"Ia juga boleh membuatkan kredibiliti syarikat anda terjejas dan apa yang saya ceritakan pada anda hari ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.

sumber : Utusan

Like it :


http://www.facebook.com/theloaf.net

Tuesday, June 21, 2011

Dr. Mahathir terima Anugerah Pelancongan


Tun Dr. Mahathir Mohamad malam ini diumum sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sempena Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011.

Anugerah tertinggi itu sebagai menghargai sumbangan beliau yang telah banyak memainkan peranan dalam membangunkan industri pelancongan di ibu negara sepanjang bergelar Perdana Menteri.

Antara sumbangan tersebut adalah pembangunan Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Litar F1 Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Hadir sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Dr. Mahathir ketika berucap sejurus menerima anugerah berkenaan berkata, beliau mula menjejakkan kaki ke ibu negara sekitar tahun 1939.

‘‘Ketika itu KL (Kuala Lumpur) belum membangun. Sekarang ini kita lihat perubahan bandar raya ini. Ketika ini kita bercakap tentang ‘Greater KL’ yang akan memacu Kuala Lumpur ke arah pembangunan yang terbaik.

‘‘Bukan sahaja itu, landskap Kuala Lumpur juga bertambah baik. Bukan sahaja diselenggara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pihak swasta dan orang ramai juga sedar akan kepentingan menjaga landskap Kuala Lumpur.

‘‘Semangat sayangkan Kuala Lumpur inilah yang akan menjadikan bandar raya ini bertambah maju berbanding bandar raya lain di dunia,’’ katanya.

Sementara itu, sebanyak sembilan anugerah lain turut diumumkan sempena Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011 antaranya kategori penginapan terbaik, restoran terbaik, pusat tarikan pelancong terbaik, penerbangan asing terbaik, operator pelancongan terbaik dan pusat beli-belah terbaik.

sumber :Utusan

Wednesday, June 15, 2011

Surat dari Tun..............




Seumur hidupku,inilah kali pertama mendapat surat rasmi dari Tun Dr Mahathir.............

Tuesday, June 14, 2011

ڤرجواڠن يڠ بلوم سلساي




سسوڠڬوهڽ تيدق اد يڠ لبيه مڽايتكن
دري مليهت بڠساكو دجاجه
تيدق اد يڠ لبيه مڽديهكن
دري ممبياركن بڠساكو دهينا

اير مات تياد ارتيڽ
سجاره سيلم تياد معنىڽ
سكيراڽ بڠسا ترچينتا ترڤيڠڬير
دڤرسندا دان دلوڤاكن



بوكن كچيل لڠكه ويرا بڠسا
ڤارا ڤجوڠ كمرديكأن
باڬي منڬقكن كمولياان
دان درجت بڠسا
سلاڠكه بيرتي مارا
مڠهاروڠ سجوتا دوڬان

بياركن برتاتيه
اصلكن لڠكه ايت يقين دان چرمت
باڬي ممستيكن نڬارا
مرديك دان بڠسا ترڤليهارا
اير مات سڠسارا
مڠيريڠي ستياڤ لڠكه باڤ-باڤ كيت

توڬس كيت بوكن كچيل
كران مڠيسي كمرديكأن
روڤاڽ لبيه سوكر دري برمندي
كريڠت دان داره منونتوتڽ

لاڬي ڤولا اڤله ارتيڽ كمرديكأن
كالاو بڠساكو اشيق مڠيا دان منيدقكن،
مڠڠڬوق دان ممبنركن،
كران سكاليڤون بڠڬڽ نڬارا
كران معمور دان ميواهڽ،
بڠساكو ماسيه ملاتا
دان ممينتا-مينتا د نڬاراڽ سنديري

بوكن كچيل توڬس كيت
منروسكن ڤرجواڠن كمرديكأن كيت
كران روڤاڽ سلاين ممردكاكن،
مڠيسي كمرديكأن ايت جاوه لبيه سڠسارا

بڠساكو بوكن كچيل هاتي دان جيواڽ
بوكنكه سجق زمان برزمان
مريك منجادي ڤلااوت، ڤڠمبارا
ماله ڤناقلوق تركموكا؟
بوكنكه مريك سوده مڠمبڠكن سايڤ،
منجادي ڤدڬڠ دان ڤنياڬ

سلاين منجادي علماء دان
علموان تربيلڠ؟
بوكنكه بڠساكو ڤرنه مڠهاروڠ
سامودرا منجاجه دنيا يڠ تق دكنل
بوكنكه مريك ڤرنه منجادي
ويرا سرانتاو يڠ تيدق مڠنل
ارتي تاكوت دان كماتين؟
د مانكه سيلڤڽ هيڠڬ بڠساكو
براس بڬيتو كچيل دان رنده ديري؟
اڤاكه اڠكارا ڤنجاجه؟
لالو بڠساكو مولاي
ملوڤاكن كڬميلڠن سيلم
دان سجاره ڬيميلڠ ممبينا ايمڤاير

توڬس كيت بلوم سلساي روڤاڽ
باڬي ممرتبت دان
ممولياكن بڠسا
كران هاڽ بڠسا يڠ برجاي
اكن سنتياس دحرمتي

روڤاڽ ماسيه جاوه دان برليكو جالن كيت
بوكن سقدر ممرديكا دان مڠيسيڽ
تتاڤي مڠڠكت درجت دان كمولياان
بوات سلاما-لاماڽ

هاري اين، جالن اين ڤستي سماكين برليكو
كران ماس دڤن بلوم تنتو
منجنجيكن شرڬ
باڬي مريك يڠ لمه دان موده كچيوا

ڤرجواڠن كيت بلوم سلساي
كران هاڽ يڠ چكال دان تابه
داڤت ممبينا مرچو تندا
بڠساڽ يڠ برجاي

دوكتور محضير محمد
مي ١٩٩٦

Sunday, June 12, 2011

KEJATUHAN NEGARA ISLAM PAS

1. Saya tertarik dengan penjelasan Nik Aziz kenapa selepas 30 tahun mengguna "perjuangan untuk Negara Islam ala PAS" untuk mendapat sokongan orang Melayu, sekarang PAS menggugurkan Negara Islam dan hukum Hudud. Kononnya Nik Aziz berpandukan Al-Quran dan Hadith.

2. Apakah Nik Aziz baru saja baca Surah Al-Baqarah dan sedar yang Negara Islam PAS menimbul salah faham dan menakutkan pihak tertentu? Jikalau kerana kesedaran ini akan menakutkan pihak tertentu (orang bukan Islam - Karpal Singh) maka PAS menggugur Negara Islam PAS, maka benarlah yang pengguguran ini bertujuan untuk menghapuskan ketakutan mereka ini, supaya mereka akan sokong PAS dalam pilihanraya, dan bukan kerana agama membenarkan atau tidak.

3. Kerana UMNO tidak menyokong Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS, Nik Aziz tidak terima UMNO.

4. Tetapi bila DAP dan Karpal Singh tidak bersetuju dengan pendirian PAS, Nik Aziz semak semula Surah Al-Baqarah dan tiba-tiba selepas 30 tahun, mendapati bahawa Negara Islam dan hukum Hudud boleh dibelakangkan dan diganti dengan Negara kebaijikan PAS.

5. Demikianlah Nik Aziz lebih bersedia akur kepada pendapat DAP dan Karpal kerana ingin mendapat undi bukan Islam. Penyokong PAS akan turut dimana sahaja pemimpin PAS bawa mereka. Gugur Islam pun mereka akan undi PAS.

6. Untuk perpaduan Melayu dan Islam Nik Aziz tidak sanggup berganjak walau sedikit pun. Biarlah orang Melayu Islam berpecah dan hancur kononnya kerana bagi Nik Aziz perjuangan PAS untuk Negara Islam dan hukum Hudud tidak boleh dibelakangkan atau digugur. Jika ada usaha untuk merapatkan hubungan dan kerjasama politik antara PAS dengan UMNO, Nik Aziz dengan tegas menolak kerana UMNO tidak Islam.

7. Tetapi kita sekarang dapat lihat bagaimana mudahnya PAS dan Nik Aziz menolak Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS kerana ingin bersekongkol dengan DAP untuk mendapat undi bukan Islam.

8. Wahai orang Melayu yang semuanya beragama Islam. Bukalah mata kamu dan lihatlah bagaimana PAS mempermainkan Islam. Bukan Surah Al-Baqarah yang mendorong PAS menggugurkan Negara Islamnya. Nik Aziz sendiri berkata yang mendorong PAS ialah ketakutan orang bukan Islam kepada Negara Islam. Untuk kemenangan pilihanraya ketakutan orang bukan Islam mesti dihilangkan dengan menggugurkan perjuangan Islam PAS.


By
Dr. Mahathir Mohamad
on June 10, 2011 2:40 PM


sumber :

http://chedet.co.cc/