Tuesday, June 21, 2011

Dr. Mahathir terima Anugerah Pelancongan


Tun Dr. Mahathir Mohamad malam ini diumum sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sempena Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011.

Anugerah tertinggi itu sebagai menghargai sumbangan beliau yang telah banyak memainkan peranan dalam membangunkan industri pelancongan di ibu negara sepanjang bergelar Perdana Menteri.

Antara sumbangan tersebut adalah pembangunan Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Litar F1 Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Hadir sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Dr. Mahathir ketika berucap sejurus menerima anugerah berkenaan berkata, beliau mula menjejakkan kaki ke ibu negara sekitar tahun 1939.

‘‘Ketika itu KL (Kuala Lumpur) belum membangun. Sekarang ini kita lihat perubahan bandar raya ini. Ketika ini kita bercakap tentang ‘Greater KL’ yang akan memacu Kuala Lumpur ke arah pembangunan yang terbaik.

‘‘Bukan sahaja itu, landskap Kuala Lumpur juga bertambah baik. Bukan sahaja diselenggara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pihak swasta dan orang ramai juga sedar akan kepentingan menjaga landskap Kuala Lumpur.

‘‘Semangat sayangkan Kuala Lumpur inilah yang akan menjadikan bandar raya ini bertambah maju berbanding bandar raya lain di dunia,’’ katanya.

Sementara itu, sebanyak sembilan anugerah lain turut diumumkan sempena Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011 antaranya kategori penginapan terbaik, restoran terbaik, pusat tarikan pelancong terbaik, penerbangan asing terbaik, operator pelancongan terbaik dan pusat beli-belah terbaik.

sumber :Utusan

No comments:

Post a Comment