Penubuhan satu lagi parti politik berasaskan perkauman hanya akan memecahkan undi di kalangan orang Melayu, sekali gus mencabar Umno.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, situasi itu akan menyebabkan semua pihak akan mengeksploitasi isu perkauman bagi mendapatkan undi untuk menang dalam pilihan raya.
"Cabarannya kepada orang Melayu. Sekarang kita ada tiga atau empat parti yang cuba untuk mendapatkan undi Melayu.
"Maaf untuk dikatakan bahawa negara ini masih bersifat perkauman. Sama ada anda suka atau tidak, banyak parti cuba untuk mengeksploitasi perasaan perkauman," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku tulisannya berjudul Frankly Speaking di sini, Rabu.
Malahan Musa juga mengakui, pembabitan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai antara penggerak kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mencabar Umno.
"Parti baharu ini yang berorentasikan bumiputera atau Melayu, ia bermakna mereka akan menjadi pencabar kepada Umno.
"Umno mahu terus menjadi nasional dan ia akan memecahkan undi Melayu. Inilah masalahnya. Jadi mereka mesti buat perkiraan dan pertimbangkan mengenai perkara ini," katanya.
Bagaimanapun menurut Musa, beliau berharap Bersatu yang bakal dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden mampu menjadi pembangkang yang efektif.
"Saya berharap mereka akan tampil dengan kombinasi Malaysia yang sebenar. Ia terpulang kepada kapasiti pemimpinnya, mereka sangat berpengalaman untuk menjadi pembangkang yang efektif," katanya.
http://www.mstar.com.my/
No comments:
Post a Comment