Saya tidak berniat untuk kempen dalam PRK Sungai Limau. Ini sebahagian dari kawasan saya pada tahun-tahun 1964 – 1969. Saya sukar berkempen di sini. Tetapi kerana sebab tertentu saya lapangkan masa pada 3hb November dan saya memutus untuk ke Sungai Limau.Sungai Limau tebal dengan PAS kerana terdapat guru agama yang terkenal di situ. Tetapi kali ini BN dapat masuk dan saya juga boleh berkempen. Sudah longgar agaknya.
Bendera PAS sama banyak dengan BN. Kit Siang turut berkempen tetapi DAP masih takut bayang-bayang saya. Tumpuan Kit Siang ialah mencaci saya, seolah-olah saya yang bertanding. Kit Siang tidak senang kenapa saya masih aktif selepas bersara.
Pada 1964 saya jadi Wakil Rakyat. Kit Siang menjadi Setiausaha Politik kepada Devan Nair. Kemudian setelah PAP tidak dapat aktif lagi di Malaysia Kit Siang menubuh DAP dan menjadi ketuanya. Saya bersara 2003. Kit Siang belum bersara, masih ketua DAP dan menjadi wakil rakyat Gelang Patah. Bila Kit Siang akan bersara? Sampai mati kah? Jika sudah bersara nak jadi pemimpin kanan (Senior Leader) DAP kah?
Kempen sekarang ini berbeza dari dahulu. Banyak wang diguna. Diadakan Karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti T-shirt BN, PAS yang belum memerintah terpaksa jual T-shirt. Apabila jadi Kerajaan T- shirt tentu percuma.
Ada Jabatan Kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi sepuluh ekor anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.
Saya tak tahu samada pameran ini adalah sebahagian dari kempen BN. Jika ia, amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – samada berbentuk duit atau anak ayam.
Saya tak tahu samada pameran ini adalah sebahagian dari kempen BN. Jika ia, amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – samada berbentuk duit atau anak ayam.
Mungkin saya salah (dan saya mengaku saya kerap salah) tetapi saya fikir pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan. Ini jelas dari PRU 13. Yang tak sokong tak sokong juga. Wang yang diberi adalah pembaziran, samada wang Kerajaan atau bukan Kerajaan.
Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya dan tingkah laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau motorsikal 1000 c.c, saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati. Ada pengundi yang tidak arif yang berkata ini rasuah. Ini sangkaan buruk mereka. Tetapi sangkaan ini walaupun mungkin bukan rasuah mungkin mempengaruhi tindakan mereka.
Di Sungai Limau ternampak banyak rumah batu bumbung genting. Nampak sejak saya jadi wakil rakyat dahulu keadaan banyak berubah. Ramai dari orang kampung yang sudah berjaya dan ada duit, walaupun tidak kaya.
Tetapi masih ramai yang miskin, amat miskin. Kalau mereka diberi peluang dan bantuan mungkin mereka akan berhijrah – Wallah wa’alam. Dan mungkin BN disanjung tinggi semula.
Inilah politik semasa. Duit lebih banyak tetapi pengaruh masih belum cukup.
No comments:
Post a Comment