Saturday, October 5, 2013

Dr. M cadang tubuh persatuan persahabatan Malaysia-China

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mencadangkan supaya Malaysia dan China menubuhkan sebuah persatuan persahabatan dan kebudayaan bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara berkenaan.


Mengemukakan cadangan tersebut kepada Presiden China, Xi Jinping semasa pertemuan di sini hari ini, beliau mencadangkan supaya persatuan itu dinamakan sebagai Persatuan Persahabatan dan Pelbagai Kebudayaan Cheng Ho.


Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr. Mahathir berkata, idea penubuhan persatuan itu adalah bagi memperingati sumbangan Laksamana Cheng Ho kepada hubungan Malaysia-China semasa zaman Dinasti Ming.


Sejarah mencatatkan Kerajaan Kesultanan Melaka telah mula menjalin hubungan dengan kerajaan China semasa Dinasti Ming kira-kira 605 tahun lalu.


"Beliau (Jinping) sangat menyokong cadangan tersebut," katanya yang berharap persatuan tersebut dapat ditubuhkan tidak lama lagi.



Dr. Mahathir berkata, Jinping juga menyuarakan kebimbangan beliau terhadap isu kesesakan laluan trafik perkapalan di Selat Melaka.


"Kami perlu mengurangkan bilangan kapal melalui selat itu dengan membina saluran paip di utara bagi penghantaran minyak dan produk lain merentasi Semenanjung tanpa mengelilingi Semenanjung.
"Beliau (Jinping) akan menimbang perkara ini kerana beliau merasakan bahawa idea ini adalah baik dan akan melihat apa yang beliau boleh lakukan untuk menyokongnya," kata Dr. Mahathir.



Isu lain yang dibincangkan dalam pertemuan sejam itu termasuk meningkatkan jumlah nilai dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara yang kini memihak kepada China.


Dr. Mahathir juga telah meminta Jinping supaya menggalakkan lebih ramai pelabur China melakukan pelaburan di Bandar Raya Getah dan Komponen Automotif Kota Putra di Padang Terap, Kedah. - BERNAMA

UTUSAN 

No comments:

Post a Comment