Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Walaupun majlis bermula jam 10 pagi namun ramai yang tiba awal untuk beratur dan bersalaman dengan Dr Mahathir dan isteri manakala kanak-kanak pula mendapat duit raya.
Cuaca terang menjadikan suasana lebih ceria dengan orang ramai mengambil peluang bergambar dengan pasangan tuan rumah itu sambil menikmati pelbagai juadah tradisional yang turut disertai alunan lagu raya.
Perkhidmatan bas perantara turut disediakan untuk memudahkan orang ramai bergerak dari tempat letak kereta ke majlis berkenaan.
Antara makanan yang disajikan ialah ketupat, kuah kacang, lemang, rendang, sate, nasi minyak serta beraneka kuih.
Dr Mahathir dalam pada itu turut memohon maaf kepada mereka yang tidak berkesempatan bersalaman dan bergambar dengannya.
Monica Lee, 32, eksekutif pengiklanan dari Shah Alam melahirkan rasa teruja dapat bersua muka dengan Dr Mahathir yang menjadi idolanya sejak di sekolah menengah.
Lee yang hadir bersama suami dan dua anaknya, masing-masing memakai baju kurung dan baju melayu berwarna merah untuk turut sama merasai suasana hari raya.
"Kami bangun pukul 6 pagi dan terus bersiap pakai baju raya sebab tidak mahu terlepas peluang keemasan berjumpa Tun," katanya yang tiba di majlis itu pada 9 pagi.
S.Murugiah, 46, pengusaha restoran dari Melaka berpuas hati meskipun perjalanannya ke sini mengambil masa tiga jam namun kunjungannya itu berbaloi.
"Saya gembira sangat bukan sahaja dapat bersalam dengan Tun Mahathir tapi juga bergambar dengannya. Saya akan letak di dinding rumah untuk semua orang tengok," katanya sambil tersenyum bangga.
Adravan Abbas, 26, pelajar Iran berkata ini kali pertama dia berkunjung ke rumah terbuka dan berasa bertuah dapat melihat sambutan Aidilfitri yang dikunjungi pelbagai kaum.
"Saya suka tengok baju-baju raya yang dipakai tetamu, berwarna-warni tak kira bangsa dan agama. Makanan Malaysia juga sedap dan sesuai dengan cita rasa saya," katanya yang menggemari sate dan rendang. - Bernama
No comments:
Post a Comment