Wednesday, July 17, 2013

Jangan pinda undang-undang sesuka hati - Tun M

Undang-undang atau akta yang telah digubal dan dilaksanakan dengan baik tidak perlu diubah sewenang-wenangnya kerana boleh mencetuskan masalah kepada negara.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang-undang yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya ditukar sesuka hati ekoran desakan mana-mana pihak kerana hanya akan mendatangkan keburukan.


Beliau berkata, rakyat negara ini hidup secara aman dan harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain sebelum ini kerana adanya undang-undang dan akta tertentu yang dijadikan panduan.
"Namun, kini semuanya berubah apabila undang-undang tertentu termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan sehinggakan ada pihak yang berani menghina Islam.


"Mereka sekarang berani kata macam-macam kepada agama kita, dulu perkara ini tidak pernah terjadi, bila tiada undang-undang sedemikian inilah yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.


Beliau mengulas tentang hasrat kerajaan untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948.


Selain itu, katanya, kerajaan perlu fikir secara mendalam sekarang untuk melaksanakan Akta Keharmonian Nasional.


"Dulu ada macam-macam undang-undang dan akta, itu yang membuatkan kita harmoni, sekarang bila undang-undang tiada, rakyat bebas," katanya.

 - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment