Perbadanan Putrajaya (PPj) perlu mempergiatkan usaha untuk memperkenalkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di pelbagai peringkat bagi memastikan ia terus menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu perlu kerana ketika ini Putrajaya dilihat agak sunyi dan kurang meriah selepas habis waktu bekerja.
Beliau berkata, Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat mempunyai banyak idea mengindahkan Putrajaya dengan pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sini.
"Kerajaan telah banyak memperuntukkan perbelanjaan untuk mengindahkan Putrajaya, namun ia bagaikan beautiful lady covers up her face apabila ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja.
"Kita mahu menjadikan Persiaran Perdana seperti Champs-Élysées di Perancis tetapi tiada kedai-kedai di sepanjang jalan tersebut dan ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja apabila semua pejabat tutup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama Aseh bersempena pelayaran penuh pertama Cruise Tasik mengelilingi Tasik Putrajaya di sini malam tadi.
Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md. Ikshan dan Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Berhad (PjH), Datuk Azlan Abdul Karim.
Sebelum ini, Cruise Tasik tidak dapat mengelilingi penuh Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kerana masalah Tasik Putrajaya yang cetek sepanjang satu kilometer di Presint 18.
Menurut Dr. Mahathir, Putrajaya memerlukan kedai-kedai seperti kafeteria, kedai cenderamata serta hiburan untuk menghidupkan suasana di sepanjang Persiaran Perdana.
"Aseh adalah seorang yang penuh dengan idea bernas, saya yakin beliau dapat melakukan pembaharuan di Putrajaya, dengan idea yang ada saya yakin Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini akan terus mendapat tarikan pelancong," katanya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment