Friday, October 12, 2012

Jangan hanya tumpu pasaran kewangan - Dr Mahathir

Negara tidak harus menjadikan aktiviti pasaran kewangan sebagai tumpuan utama untuk mencapai pertumbuhan ekonomi, seperti mana yang dipraktikkan oleh beberapa negara. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya berkata, tumpuan kepada sektor pengeluaran dan pertanian perlu dititikberatkan, memandangkan sektor-sektor itu berupaya mengagihkan kekayaan negara dengan lebih baik. Jelasnya, aktiviti dalam pasaran kewangan hanya memberi faedah kepada sebahagian kecil penduduk negara. “Berdasarkan kajian di Amerika Syarikat, sektor ini hanya dipelopori oleh satu peratus rakyatnya sahaja, dan selebihnya tidak menikmati faedah daripada perkembangan sektor tersebut," katanya. Dr. Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan peserta ketika sesi khas bersama beliau sempena berlangsungnya Malaysian Brand Forum 2012 dan pelancaran Brand Transfomer di sini hari ini. Soalan itu ditanya bagi membandingkan Malaysia dengan negara yang tidak memiliki sumber alam yang banyak, namun masih mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Kata bekas Perdana Menteri itu, Malaysia mempunyai masalah berlainan dan tidak boleh meniru sepenuhnya gaya yang diamalkan di negara lain. “Wujud pada kalangan rakyat negara ini yang gemar membandingkan negara dengan negara maju yang lain. Tetapi, tidak menilai secara positif apa yang dicapai oleh Malaysia selama ini. “Perkembangan ekonomi di Jepun atau Korea Selatan hari ini, disumbangkan oleh penduduknya yang patriotik," kata beliau lagi. Sementara itu, beliau meminta peniaga tempatan berani menghadapi kerugian terutama demi mengekalkan reputasi syarikat, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan. “Pengeluar kereta dari United Kingdom, Rolls-Royce yang pernah menerima aduan kerosakan kereta daripada pelanggannya di Switzerland, telah menggantikan kereta yang baharu kepada pelanggan tersebut. “Ia dilakukan demi menjaga imej jenama tersebut," katanya. sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment