Thursday, September 20, 2012

Generasi muda cerdik, mulia pacu 2020

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin generasi muda yang berilmu dan cerdik serta ditambah dengan nilai-nilai mulia mampu menjadi pemacu pertumbuhan negara menjelang 2020. Katanya, generasi muda juga perlu bijak mengawal emosi daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana penguasaan ilmu sahaja tidak menjamin masa depan negara yang turut bergantung kepada nilai-nilai mulia serta bijak menggunakan kuasa undi memilih pemimpin. "Generasi muda kini ramai yang bijak pandai, tetapi jika gagal kawal nafsu, emosi dan seterusnya terjebak dengan kegiatan yang bukan mencerminkan sebagai seorang pelajar seperti tindakan memijak gambar pemimpin dan melondehkan seluar, itu namanya bukan orang bijak. Nak pijak gambar pemimpin atau londeh seluar tak payah masuk universiti. "Orang macam ini yang gagal membebaskan diri daripada tekanan kerana dipengaruhi pihak tertentu demi kepentingan peribadi, golongan inilah akan merosakkan negara," katanya di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Diskusi Kepimpinan Perdana Mahasiswa UTM bertajuk 'Mampukah Generasi Muda Malaysia Menjadi Pemacu Negara Menjelang 2020? Antara Realiti dan Fantasi'. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang. Kira-kira 4,500 orang hadir selain turut mengajukan beberapa persoalan dalam sesi soal jawab yang berlangsung selama setengah jam. Kata Dr. Mahathir, kuasa mengundi yang digunakan untuk memilih pemimpin berwibawa dan cekap akan menjamin kestabilan negara secara menyeluruh, namun kehancuran akan berlaku jika tersalah memilih pemimpin. Terdahulu, ketika menjawab satu soalan, beliau menjelaskan, generasi muda mempunyai persepsi negatif terhadap segelintir pemimpin disebabkan mereka berjuang bukan untuk agama, bangsa dan negara tetapi kepentingan peribadi. "Saya mengingatkan segenap lapisan masyarakat agar menegur para pemimpin yang lalai dengan menggunakan kuasa dimiliki iaitu menerusi undi. "Saya juga setuju bahawa suara mahasiswa masih relevan dan perlu didengar oleh para pemimpin, namun ia perlu disuarakan dengan cara berhemah dan penuh tertib," katanya lagi. sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment