Friday, October 28, 2011

Tidak perlu liberalisasi - Dr. M




Malaysia tidak perlu melaksanakan liberalisasi sektor automotif kerana negara-negara maju lain masih mengamalkan sekatan pelaburan dalam sektor itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan sebagai tidak adil jika ia dilaksanakan berkata, negara-negara Eropah, Korea Selatan dan China didapati masih mengamalkan sekatan pelaburan asing dalam sektor tersebut.

''Kita belum bersedia untuk meliberalisasi sektor automotif walaupun kerajaan mahukannya bagi menarik pelaburan asing.

''Jika semua negara meliberalisasikan sektor automotif, maka kita bersedia untuk melakukan pasaran terbuka,'' katanya selepas menghadiri majlis minum petang bersama beliau anjuran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengarah Urusan Perodua, Datuk Seri Aminar Rashid Salleh.

Ketika ditanya mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) yang akan dibentangkan pada Disember depan, Dr. Mahathir menjawab, kerajaan sepatutnya mengutamakan kepentingan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan tempatan terlebih dahulu berbanding kepentingan pihak lain.

Katanya, kerajaan perlu bertindak adil kepada penggiat tempatan melalui garis panduan yang ditetapkan di dalam DAN.

''Industri automotif berkait antara satu sama lain dan tumpuan perlu diberikan terhadap kepentingan pengeluar kenderaan tempatan terlebih dahulu,'' katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Mahathir berkata, usahawan bumiputera perlu berani meniru kejayaan bangsa lain jika mahu berjaya dalam perniagaan.

Beliau berkata, seseorang itu perlu berani dan yakin dalam apa jua keadaan.

"Kita kena cerdik agar kita boleh berjaya dan menjadikan bangsa Cina sebagai contoh kejayaan kita,''

"Dulu ketika dalam kerajaan pun saya menghadapi semua ini yang datang untuk meminta itu dan ini tetapi apabila saya sendiri menceburi bidang perniagaan baru saya tahu tipu helah ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada simposium Usahawan Permodalan Usahawan Bumiputera (PUNB), di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, usahawan bumiputera seharusnya tidak mengehadkan diri dalam kelompok tertentu sahaja, sebaliknya perlu berani bergaul dengan kaum yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Beliau berkata, usahawan bumiputera perlu lebih agresif dan berusaha untuk mengambil peluang mengembangkan perusahaan seiring dengan kemajuan dan pencapaian kaum lain.

"Tengoklah kaum Cina sebagai contoh, majoriti perniagaan yang diceburi sangat berjaya dan apa salahnya kita bercampur dan bertanya dengan mereka rahsia kejayaan mereka,'' katanya.

sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment