Monday, November 26, 2012

IKLAN PROTON SAGA (1985)

Tun Mahathir Imbau Kenangan Cetuskan Dasar Pandang ke Timur

Tun Dr. Mahathir di Pelancaran Tabung Kemanusiaan Gaza

Tun Dr. Mahathir Mohammad speech 20/11/2012

Jangan salah guna hak demokrasi

Hak demokrasi tidak harus disalah guna untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, sesetengah pihak yang tidak berpuas hati setelah kalah dalam pilihan raya seringkali menyebut hak demokrasi sebagai contoh ketika mereka cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

"Mereka menimbulkan kekacauan di seluruh negara, mereka mengadakan demonstrasi jalanan dan mengadu bahawa kerajaan menipu dalam pilihan raya, oleh itu perlu diadakan satu lagi pilihan raya dan menjatuhkan kerajaan yang telah pun dipilih," katanya.

Ini boleh membawa kepada keganasan, serangan dan pembunuhan, katanya pada majlis makan tengah hari yang dianjurkannya bagi perwakilan yang menghadiri Forum Antarabangsa Umno bertemakan 'Konflik dan Perdamaian dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?' di sini hari ini.

Forum dua hari itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Raza, diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 yang bermula esok.

Dr Mahathir menegaskan ada antara negara yang baru mengamalkan demokrasi tidak menghargai sepenuhnya sistem demokrasi.

 "Kita hanya menyukainya apabila kita menang, tetapi tidak apabila kita kalah," katanya.

Dr Mahathir turut menyentuh tentang kuasa asing yang menyokong perubahan rejim dengan mempergunakan kumpulan minoriti dan memberi mereka wang serta segala bentuk sokongan.

Beliau berkata ini boleh mengakibatkan negara menjadi tidak stabil dan dalam keadaan itu, faedah daripada demokrasi tidak boleh dinikmati oleh rakyat. 

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Dalam demokrasi, anda perlu menerima keputusan pilihan raya. Parti yang memperoleh majoriti mesti diberi hak untuk memerintah negara sekurang-kurangnya bagi keseluruhan penggal. Maka, demokrasi akan berkesan.

"Konflik tetap ada tetapi tidak akan membawa kepada keganasan, kemusnahan dan ancaman keselamatan kepada rakyat," katanya.


 - Bernama

Taktik pembangkang tuduh kerajaan tipu PRU13

Malaysia tidak lagi bebas jika pihak luar dibiar campur tangan dalam menentukan kerajaan yang memerintah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Riba Dunia Ketiga hari ini, Dr Mahathir mendakwa hasrat pembangkang menjemput pemerhati luar untuk memantau pilihan raya umum ke-13 sebenarnya bertujuan menuduh kerajaan menipu dalam pilihan raya. 

"Tujuan satu sahaja, dia (pembangkang) kalah dia nak buat demonstrasi tentang penipuan dalam pilihan raya. Kerajaan tipu sebab itu parti kerajaan menang. Itu sahaja.

"(Pembangkang) Nak buat rusuhan macam di negeri Arab supaya dapat jatuhkan kerajaan di luar daripada sistem pilihan raya," katanya apabila ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia Senator Bob Carr meminta negara itu membantu memantau pilihan raya di Malaysia.

Ditanya mengenai pemerhati bebas yang dijemput semasa pilihan raya umum lepas, Dr Mahathir berkata: "Secara rasmi kita tak jemput, tapi kalau dia nak datang dan tengok, tengoklah.
  
"Tak ada negara yang mana parti kerajaan boleh kalah di lima buah negeri... tak dapat dua pertiga kerusi di Parlimen. Kalau betul-betul dia (kerajaan) nak tipu, saya ingat parti lawan (pembangkang) tak boleh menang lima buah negeri," katanya.    

Persidangan Riba Dunia Ketiga membincangkan isu riba dan kaitannya terhadap kemelesetan ekonomi global yang berpanjangan, inflasi dan pergolakan sosial yang melanda dunia ketika ini.

Persidangan dianjurkan oleh Thinkers Trends Malaysia Resources dengan kerjasama Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Al Ghazzali untuk Sains Islam dan Pembangunan Manusia (Australia).

- Bernama

PRU: Pihak kalah perlu terima hakikat, kata Dr M


Mana-mana pihak yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) harus menerima kenyataan itu dan diharap tidak membuat sebarang provokasi seperti demonstrasi yang akhirnya akan menyebabkan huru-hara berlaku dalam negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada masa kini terdapat juga pihak yang sudah pun mencipta suasana tidak selesa itu dengan memberitahu orang ramai bahawa PRU13 akan datang adalah pilihan raya yang tidak adil.

"Mereka menghasut orang ramai sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, mereka akan  membuat demonstrasi.

"Ada pihak yang tidak boleh menerima kekalahan dan akan membuat demonstrasi.

"Mereka akan mengata ketidakadilan dan penipuan telah berlaku," kata beliau pada sidang media Forum Antarabangsa bertemakan Konflik dan Perdamaian Dalam Politik: Mengimbas Kembali atau Memandang Ke Hadapan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan media tentang demokrasi yang dilihat sudah tidak lagi relevan pada masa ini.

Beliau bagaimanapun berpendapat, pendekatan demokrasi itu sendiri tidak cacat tetapi terpulang kepada pengamalnya.

"Semuanya bergantung kepada pengamalnya terutamanya ketika menerima kekalahan," kata beliau.

Mengulas mengenai taktik pembangkang yang menggunakan demonstrasi untuk menyatakan bantahan, beliau mendakwa, perkara itu menjadi satu instrumen kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengatur langkah ke Putrajaya dan untuk menjadi
Perdana Menteri.

Dr Mahathir juga mendakwa, merancang demontrasi merupakan kemahiran tinggi Anwar dalam membuat persiapannya itu.

"Persiapan Anwar ialah membuat demonstrasi awam. Sebelum ini tidak pernah ada demonstrasi.

"Malah masa dia (Anwar) dalam kerajaan, dia sendiri menentang demonstrasi,tetapi sekarang sejak dia keluar penjara, sering kali berlaku demonstrasi termasuk Bersih dan Himpinan Hijau," katanya.


SINAR HARIAN