Friday, August 26, 2011

Saturday, August 20, 2011

Umat Islam kini lemah - Dr. M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ketika ini masyarakat Islam Malaysia berpecah kepada tiga puak sehingga mereka menjadi lemah dan boleh membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Menurut beliau, tiga puak berkenaan sebenarnya 'berperang' sesama sendiri walaupun tidak menggunakan senjata seperti di kebanyakan negara Islam lain yang menghadapi pelbagai bermasalah.

"Saya percaya jika terus berpecah-belah dan terbahagi kepada tiga puak yang masing-masing lemah kerana sokongan tidak mencukupi, sekali lagi kita akan dijajah oleh pihak lain kerana kelemahan ini.

"Sebagai orang Islam kita harus ingat sepanjang masa bahawa dalam keadaan kita lemah, hanya perpaduan sahaja yang boleh menjadi benteng dalam mempertahankan hak kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid al-Ehsan, Batu 3, di sini semalam.

Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Dr. Mahathir berkata, masyarakat Islam di negara ini harus bersyukur kerana walaupun Malaysia mengamalkan perkongsian kuasa, namun yang menjadi tunjang pemerintahan ialah orang Islam.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang dinikmati itu akan berakhir jika orang Islam hilang kuasa pemerintahan.

"Apabila kita sudah tidak berkuasa dan tidak menjadi tunjang kerajaan, maka percayalah kita akan mengalami nasib yang sama seperti orang Islam lain yang terpaksa tinggal di negara di mana orang Islam tidak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir membidas Pas kerana sanggup 'menghalalkan' segala perbuatan yang dilakukan oleh orang bukan Islam kerana mahu mendapat sokongan golongan itu dan menjaga kerjasama dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Katanya, tindakan Pas itu tidak pelik kerana parti tersebut juga sanggup menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan hukum hudud serta digantikan dengan negara berkebajikan.

"Oleh kerana kerjasama dengan orang itu, apa orang itu buat pun dia nak halalkan. Sekarang nak perjuang agama Islam sudah gugur, hukum hudud dah gugur dan diganti dengan negara berkebajikan.

"Apa orang itu buat semua halal pasal nak undi (dan) sokongan daripada orang itu," ujarnya.

sumber :Utusan