Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
mencadangkan agar Perbadanan Putrajaya (PPj) mewujudkan kedai makanan
dan barangan di sepanjang jalan tengah (Jalan Persiaran Perdana) di
Putrajaya.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan Jalan Persiaran Perdana iaitu
kawasan yang menempatkan kebanyakan bangunan pejabat kerajaan tetap
'hidup' selepas pukul 5 petang, sekali gus menjadi tarikan orang ramai.
Pada masa sama, Dr. Mahathir selaku pengasas Putrajaya menjelaskan,
cadangan penubuhan Hard Rock Cafe mungkin tidak sesuai tetapi bersetuju
jika dapat diadakan pusat hiburan ringan mengikut acuan setempat di
Putrajaya.
Tegasnya, beliau sendiri tidak setuju jika pusat hiburan yang
dicadangkan menyaji minuman keras serta tarian erotik tetapi
menjelaskan, kewujudan pusat hiburan tidak bertentangan dengan idea
penubuhan pusat pentadbiran kerajaan itu.
"Adanya hiburan ini tidak bercanggah dengan idea Putrajaya. Saya
tidak bersetuju jika diadakan kedai menyajikan arak dan tarian bogel di
Putrajaya tetapi jika diadakan sedikit hiburan tidak mengapa. Pusat
hiburan ringan perlu diadakan.
"Pada malam sambutan tahun baharu hampir 100,000 orang kebanyakannya
Melayu dihibur dengan lagu dan tarian. Mereka tidak mungkin datang jika
tidak ada hiburan," katanya menerusi laman blognya, http://chedet.cc, hari ini.
Isnin lalu, Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, beliau tidak
akan mempertimbangkan permohonan atau sebarang surat untuk membuka
cawangan Hard Rock Cafe di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pembinaan Putrajaya untuk
dijadikan sebuah bandar pentadbiran kerajaan sebenarnya diilhamkan dari
beberapa bandar terkemuka dunia antaranya Champs Elysees, di Paris,
Perancis.
Katanya, sebagaimana Champs Elysees yang mempunyai boulevard utama
melintasi laluan tengah kota Paris, Putrajaya juga menggunakan idea yang
sama apabila mewujudkan Jalan Persiaran Perdana sebagai jalan tengah.
Tambah bekas Perdana Menteri itu, Champs Elysees dipenuhi dengan
pembeli-belah tempatan dan pelancong sepanjang masa kerana terdapat
kedai dan restoran mewah selain pusat hiburan Lido sebagai antara
tarikan istimewa.
"Bagaimanapun kita tidak berhasrat meniru segala-galanya yang
terdapat di Champs Elysees di Paris. Kita juga tidak ingin menjadi
Putrajaya sebagai Bandar pentadbiran yang penuh dengan pejabat Kerajaan
semata-mata," katanya.
sumber :
No comments:
Post a Comment