Friday, January 24, 2014

Forum Kebangsaan Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam

Tun Dr Mahathir Mohamed berpandangan bahawa setiap dokongan idea hak asasi barat perlu mempunyai had, jika tidak ia boleh mencetuskan huru hara dan meruntuhkan tradisi masyarakat timur.





“Idea-idea hak asasi perlu ada hadnya dan tidak semua boleh diterima secara keseluruhan.

“Dan saya percaya jika dibenarkan kebebasan ala barat ini ia pasti akan meruntuhkan negara dan institusi masyarakat itu sendiri,” ujarnya dalam ucaptama bertajuk ‘Prinsip dan Praktik Hak Asasi Manusia Sejagat: Langkah ke Hadapan’ pada Forum Kebangsaan Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam di Pusat Islam, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Katanya, kini hak asasi kemanusiaan yang datangnya dari barat yang taksub dengan kebebasan sedang hangat diperjuangkan.

Ada yang pergi ke Swizterland mendesak agar Malaysia menerima pakai nilai-nilai hak asasi Barat.

Terkini, COMANGO telah menyerahkan laporan yang mengandungi beberapa tuntutan yang berpaksikan barat yang bertentangan dengan Islam telah diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 24 Oktober di Geneva, Switzerland yang lalu.

Jadi kita semua perlu tahu bahawa perjuangan hak asasi barat inilah yang sedang mengancam masyarakat kita sehingga mencetuskan konflik.

Katanya, di negara barat hak asasi individu lebih menjadi keutamaan sehingga membelakangkan hak masyarakat dan itulah yang hendak dipraktikkan di Malaysia.

“Jika pendapat individu mengatakan harus menolak adat dan agama maka ia harus diterima selaras dengan pemikiran hak asasi itu.

“Lihat saja di Eropah, idea tentang perkahwinan digugurkan. Mereka beranggapan tidak perlu lagi ikatan perkahwinan.

“Sehinggalah munculnya idea hak asasi untuk sesama jantina. Adat dan agama telah diketepikan yang penting bagi mereka ialah hak asasi individu untuk melakukan apa sahaja.

Ujar Tun Mahathir lagi, segala yang dianggap sebagai nilai hidup agama dan adat ini telah dipinggirkan kerana pengaruh barat yang terlalu kuat.

Justeru, kita harus menerima sekatan-sekatan yang ada dalam agama apatah lagi kita hidup dalam masyarakat yang dikawal oleh adat, undang-undang dan agama.

Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa Islam bukan sahaja agama tetapi cara hidup yang membawa kebaikan.

Maka kita perlu perkukuhkan pegangan agama kita dan perlu memahami isi Al-Quran. Bukan sekadar melakukan ibadat seharian tetapi fahamilah isi kandungan Al-Quran agar kita tidak terpesong.

Turut serta dalam forum tersebut adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad, dengan tajuk pembentangannya ‘Hak Asasi Manusia: Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia’. Pengerusi Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan Yayasan 1Malaysia Profesor Dr Chandra Muzzafar berkenaan Pendirian Hak Asasi Barat: Agenda dan Hipokrasinya dan Fellow Utama Akademik di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Prof Dr Mudathir ‘Abd Al-Rahim berkenaan Human Rights: Islamic and Western Perspective).


http://www.ismaweb.net/

No comments:

Post a Comment