Wednesday, January 23, 2013

KENALI DATUK MUKHRIZ MAHATHIR


Oleh Muhammad Azli Shukri

Wawancara bersama Datuk Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun. Merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia. Wawancara ini sudah disiarkan di dalam Majalah Pelita Bahasa edisi Disember 2008.

Pandangan Datuk tentang bahasa Inggeris?

Kita harus faham, bahawa hanya melalui bahasa sahaja, kita mampu menguasai ilmu. Dan orang yang menguasai ilmu sahaja yang akan berjaya. Asalnya, bahasa Greek digunakan sebagai bahasa yang menghimpunkan segala macam ilmu falsafah, kemudian berpindah ke bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan kemudiannya berpindah ke Eropah, dan sekarang, bahasa Inggerís menjadi bahasa ilmu pengetahuan, kita harus terima hakikat tersebut. Dunia semakin mencabar, mana-mana bangsa yang tidak menguasai bahasa Inggerís akan ketinggalan. Usaha menterjemah agak terbatas, manakala perkembang ilmu semakin pantas, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Mahu atau tidak mahu, kita harus menguasai bahasa Inggerís dengan baik, agar mudah menguasai ilmu pengetahuan.

Pandangan Datuk tentang bahasa Melayu?

Saya tidak bermaksud menidakkan bahasa Melayu. Namun demikian, dalam soal memperkasakan bangsa, menguasai bahasa Inggeri adalah sangat penting untuk generasi akan datang menguasai pelbagai cabang ilmu. Kita harus faham antara memperkasakan bangsa dengan memperkasakan bangsa, terdapat dua perkara di situ. Hari ini, untuk memperkasakan bangsa, mahu atau tidak mahu, kita harus menguasai bahasa Inggerís dengan baik, kerana bahasa tersebut merupakan bahasa ilmu. Manakala, memperkasakan bahasa pula, adalah dengan menjadikan bahasa Melayu mempunyai nilai yang tersendiri sehingga berupaya menarik minat bangsa lain untuk mempelajarinya, malah pastikan bahasa Melayu tidak hanya terhad dalam bidang bahasa dan sastera semata-mata. Jika diperhatikan negara China dan Jepun pada ketika ini, mereka turut menyedari kepentingan bahasa Inggerís, walaupun negara mereka semakin maju.


Namun demikian, sejak belakangan ini kedua-dua buah negara tersebut telah memberi perhatian yang serius kepada pembelajaran bahasa Inggerís sebagai bahasa ilmu. Begitu juga dengan bahasa Melayu, kita tidak harus menjadikan bahasa Melayu sekadar dalam konteks sastera dan bahasa semata-mata. Sebaliknya bahasa Melayu harus terlibat dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan lain. Selain itu, kita harus mewujudkan istilah-istilah baharu dalam bidang sains, teknologi dan perniagaan dengan cepat dan pantas, jangan kekangkan bahasa Melayu untuk berkembang, dengan meletakkan pelbagai syarat, dan mendakwa itu tidak boleh, ini tidak boleh dan akhirnya yang rugi adalah bahasa kita sendiri. Bahasa Melayu, hakikatnya boleh maju, tetapi kita harus izinkan bahasa Melayu dikembangkan oleh penuturnya sendiri. Oleh yang demikana, kita wajib merelevankan bahasa Melayu dari semasa ke semasa.

Bolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa perpaduan?

Sudah tentu boleh. Sebagai sebuah negara berdaulat, kita seharusnya mewajibkan setiap warga Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik, tidak mengira bangsa dan agama. Sebagai rakyat Malaysia, seharusnya semua kaum di Malaysia mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Pandangan Datuk berkenaan isu papan tanda di Pulau Pinang?

Saya selalu tegaskan bahawa saya tidak suka apabila bahasa dijadikan isu politik, dan saya sama sekali tidak bersetuju menggunakan empat bahasa dalam setiap papan tanda di negeri tersebut. Saya tak nampak rasionalnya tindakkan tersebut? Untuk apakah sebenarnya, bukankah kita sudah mempunyai bahasa kebangsaan yang jelas dan mudah difahami semua kaum?

Buku bahasa Melayu yang baru Datuk baca?

Baru-baru ini saya ada membaca kitab hadis dalam bahasa Melayu dan satu set lengkap berkenaan himpunan buku-buku tulisan Prof. Hamka yang diberikan oleh rakan baik saya. Daripada pemerhatian saya, jelaslah bahawa bahasa kita cukup cantik dalam meyampaikan idea yang berunsur falsafah dan agama. Itu harus kita akui.

Pandangan Datuk tentang DBP?

DBP tetap relevan, usaha mengembangkan bahasa harus diteruskan. Namun demikian, ramai yang tidak tahu bahawa, DBP banyak menghadapi cabaran, masyarakat hanya tahu menyalahkan DBP. Tetapi, masyarakat tidak tahu bahawa cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu pada hari ini sangat hebat. Sebagai contoh, amalan seharian kita banyak terdedah dalam bahasa Inggeris, seperti rancangan kartun di televisyen kebanyakkannya dalam bahasa Inggeris. Muzik yang dimaikan di radio banyak dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, DBP mempunyai banyak cabaran, tetapi masyarakat tidak nampak semua ini. Mengembangkan bahasa Melayu bukan terletak di bahu DBP sahaja. Semua rakyat Malaysia harus terlibat, dan jangan salahkan DBP semata-mata. Yang penting dan harus dilakuan oleh DBP ialah menjadikan bahasa Melayu mempunyai daya tarikan yang tersendiri, agar berupaya menarik minat orang ramai untuk mempelajarinya. Umpamanya bahasa Jepun, saya belajar bahasa Jepun selama lima tahun di negara tersebut adalah kerana saya sangat tertarik dan ingin mengetahui teknologi yang mereka miliki. Oleh sebab itu saya mesti menguasai bahasa Jepun, jika saya mahukan ilmu teknologinya.

Datuk menguasai bahasa Jepun dan Inggeris dengan baik, apakah ia mengurangkan rasa patriotisme dalam diri Datuk?

Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Sebenarnya, apabila kita menguasai banyak bahasa, ia menjadikan diri kita lebih bersifat patriotik dan sayang kepada bahasa kita sendiri. Hal ini adalah kerana apabila menguasai bahasa lain, kita secara tidak langsung mempunyai perbandingan dan ukuran, malah dapat menilai dengan lebih baik terhadap pelbagai bahasa yang telah kita kuasai tersebut, di samping dapat melihat keunikan dan menghayati kehebatan bahasa kita sendiri berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Hal ini menyebabkan kita lebih berasa bangga dan menghargai bahasa ibunda kita sendiri setelah mengetahui kelebihan dan keunikan bahasa kita berbanding dengan bahasa lain. Hal ini adalah kerana, setiap bahasa di dunia ini dicipta oleh Tuhan dengan keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Lagi banyak bahasa yang kita kuasai, lagi tinggilah nilai patriotik dalam diri kita. Lantaran itu, saya menggalakan agar kita menguasai pelbagai bahasa, agar kita menjadi lebih patriotisme dan mengenali kehebatan bahasa kita sendiri.



http://azlishukri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment