DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD | ||
---|---|---|
Tajuk | : | PEMBUKAAN KILANG PETFINA |
Lokasi | : | TANJUNG KELING, MELAKA |
Tarikh | : | 25-01-1985 |
Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdul Rahim Tamby Chik, Ketua Menteri Melaka; Yang Mulia Encik Affendi, Pengerusi Lembaga Pengarah Petfina; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Petfina kerana menjemput saya merasmikan kilang memproses minyak pelincir dan minyak alat ubah ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Syarikat ini di atas kejayaannya dalam bidang pengeluaran petroleum products ini. 2. Seterusnya saya turut berbangga dengan adanya penyertaan Bumiputera dalam industri yang berasaskan petroleum ini. Walaupun bilangan bumiputera belum begitu ramai lagi tetapi dari apa yang dapat dilihat mereka dapat mengendalikan perusahaan ini dengan memuaskan. Saya juga diberitahu bahawa Syarikat Petfina ini mempunyai kerjasama yang erat dengan Syarikat Fina dari Belgium dari mana Petfina telah mendapat berbagai kerjasama teknikal yang telah memberi kesan kepada syarikat tempatan ini. Saya harap kerjasama ini dapat ditingkatkan demi kemajuan dan kepentingan bersama. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 3. Kerajaan semasa mengkaji dasar-dasar dan strategi-strategi perindustriannya telah menyedari tentang perlunya diadakan satu strategi perindustrian yang bersepadu. Antara lain strategi ini memerlukan satu perancangan yang terperinci bagi sektor pembuatan atau 'manufacturing'. Kerajaan merasai penekanan haruslah diberikan kepada 'penggabungan sektor' atau 'sectoral-mix' yang sesuai. Gabungan ini perlulah menunjukkan dengan jelas nya perhubungan di antara berbagai peringkat kegiatan pengeluaran dan corak kegiatan yang saling bergantung. Perancangan ini seharusnya mewujudkan rantaian atau 'linkages' yang lebih erat di antara sektor pembuatan dengan sektor-sektor lain dan di antara industri-industri dalam sektor pembuatan sendiri. Justeru itu rantaian ini akan mempunyai pengaruh ke atas punca dan penggunaan barang di dalam dan luar negeri. Ianya juga boleh memberi kesan ke atas berbagai faktor pengeluaran atau 'factors of production'. Perancangan seperti ini akan mengambil kira juga hal-hal mengenai meluaskan pembangunan, pengagihan pendapatan dan imbangan pembayaran. 4. Dengan itu Kerajaan akan menyediakan satu Pelan Induk Perindustrian atau 'industrial master plan' yang menyeluruh dan lengkap. Pelan ini akan menyediakan rangka-kerja yang terperinci mengenai kegiatan berbagai sektor dan juga sektor industri kecil supaya sumber-sumber ekonomi di negara ini dapat digunakan secara optimum dan supaya matlamat pembangunan negara tercapai. Pelan ini akan menyediakan 'profile' industri yang sesuai, keluasan pasaran, keupayaan yang sedia ada, serta permintaan dan penawaran berbagai jenis barang. Ianya akan menggariskan usaha yang harus dilaksanakan bagi menyatukan industri yang sedia ada dengan kegiatan mengeluarkan bahan mentah dan kegiatan memproses bahan ini seterusnya. Dari segi guna tenaga pula, institusi latihan yang sedia ada, termasuklah universiti-universiti, akan mengubah-suai semula kegiatan latihan yang dijalankan, sesuai dengan keperluan mengikut pelan induk tersebut. Kerajaan akan cuba menentukan juga bahawa sistem maklumat industri yang efisien akan wujud di negara kita ini. 5. Dengan adanya pelan induk ini kelak, kita berharap setiap industri itu akan menyebabkan munculnya industri-industri yang berkaitan, sama ada sebagai pembekal input dan alat-alat untuk satu-satu peringkat pengeluaran barangan, atau sebagai pengguna barangan yang dikeluarkan. Pada masa ini kaitan antara industri itu tidak digunakan dengan maksimum. Misalannya, negara kita adalah pengeluar alat letronik yang kedua besarnya di dunia. Tetapi malangnya industri yang boleh menggunakan alat-alat letronik ini untuk pengeluaran barangan siap boleh dikatakan tidak ada. Oleh yang demikian alat-alat letronik itu dieksport sahaja tanpa menghasilkan penyerapan teknologi baru atau tambah-nilai. Saya yakin dengan adanya pelan induk itu nanti, pembangunan perindustrian di negara ini akan lebih pesat dan lebih tersusun lagi. 6. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Petfina kerana dapat menggunakan hasil sampingan petroleum kita bagi diproses kepada minyak pelincir dan barangan yang lain. Pengeluaran minyak pelincir ini adalah selaras dengan konsep penggabungan yang saya sebutkan sebentar tadi. 7. Kerajaan juga sedar akan betapa pentingnya jentera Kerajaan sendiri dikemas dan proses birokrasi direngkaskan. Proses birokrasi sekarang ini adalah di antara perkara yang mengecewakan ramai mereka yang ingin melabur. Susunan yang dicadangkan akan menghapus seberapa yang boleh segala halangan 'red-tape' terhadap pembangunan industri. Penggunaan manual pejabat atau 'office manual' dan fail meja akan diwajibkan bagi setiap pegawai yang terlibat. 8. Kerajaan juga sentiasa menggalakkan penyebaran industri ke kawasan-kawasan selain dari bandar-bandar perindustian yang besar. Dewasa ini lebih tiga suku daripada pengeluaran pembuatan di Malaysia datangnya dari 5 pusat iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Kerajaan ingin menyebarkan industri pembuatan ke semua negeri, terutama negeri-negeri yang kurang maju. Jika Kerajaan negeri berminat untuk mendapat pelaburan dengan pesatnya, maka birokrat di peringkat negeri serta anggota Kerajaan negeri, seperti juga Kerajaan Persekutuan, hendaklah menggunakan 'minyak pelincir' dengan cukup untuk menentukan segala urusan berkenaan dengan pelaburan berjalan dengan licin, teratur dan cepat. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Perusahaan petroleum merupakan salah satu perusahaan yang penting kepada negara kita. Perusahaan petroleum selain daripada mendatangkan hasil yang besar kepada negara, juga merupakan sebagai salah satu bidang perusahaan yang memberi peluang pekerjaan yang besar. Walau bagaimanapun, perkembangan bidang petroleum di negara kita adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan negara. Di sini ingin saya tegaskan bahawa atau nasionalisma petroleum tidak semestinya membawa keuntungan kepada negara. Pelaburan dalam bidang petroleum hendaklah dibuat secara rasional dengan mengambil-kira pengaliran tukaran asing, hasil negara dan pencepatan proses pembangunan negara. Tidak ada gunanya kita berbangga dengan milik sendiri jika kita rugi sepanjang masa, terutama apabila di waktu yang sama orang lain mendapat keuntungan daripada perusahaan petroleum kita. 10. Kita bernasib baik kerana kita mempunyai minyak dan gas asli dan kita pula telah mengusahakan pengeluaran dan penggunaannya secara berhati-hati. Di samping itu juga, badan yang bertanggungjawab mengenai perusahaan petroleum, iaitu PETRONAS, giat menjalankan usaha-usaha mencari-gali minyak dan gas asli. Usaha-usaha ini bukan sahaja sukar untuk dijalankan, tetapi juga memerlukan kepakaran serta pelaburan yang begitu tinggi. Usaha-usaha yang dijalankan oleh PETRONAS telah banyak mendatangkan hasil. Mencari-gali minyak dan gas asli ini memerlukan pelaburan wang yang begitu banyak dan kita pula tidak dapat menentukan sama ada usaha-usaha tersebut akan berjaya serta mendatangkan keuntungan. Dengan perkataan lain usaha mencarigali mempunyai risiko. Di sini kecekapan pengurusan dinilai bukan daripada segi berani menghadapi risiko, tetapi daripada segi mentaksir peratusan risiko yang akan dihadapi. Jika risiko adalah terlalu tinggi, ianya patut diagih-agihkan di antara beberapa pihak. Demikianlah yang sering dibuat oleh bank dan syarikat insurans. 11. Memandangkan kepada hal ini, PETRONAS sekarang sedang memikirkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat petroleum asing bagi menjalankan kerja-kerja mencari-gali. Di kawasan-kawasan yang memerlukan pelaburan yang lebih besar lagi, PETRONAS mungkin memberikan kontrak carigali kepada syarikat-syarikat yang pakar dalam bidang ini seperti yang dibuat oleh kebanyakan syarikat gergasi petroleum. Jika kita ingin mendapat teknologi carigali, kita boleh tempatkan pakar kita dengan syarikat yang diberi kontrak itu. Dengan cara ini kita tidak perlu melabur wang yang banyak untuk alatan dan kerja carigali. 12. Negara tidak akan mengalami kerugian sekiranya usaha-usaha mencarigali ini diberikan kepada syarikat-syarikat kontraktor pakar. Sebaliknya banyak perbelanjaan akan diselamatkan yang mana ini akan menjadi hasil negara dan digunakan untuk faedah rakyat. Teknologi yang memerlukan kepakaran kita dan pelaburan yang boleh menguntungkan negara amatlah banyak. Kita tidak harus mengejar semua teknologi dan semua perusahaan dengan kemampuan yang sedikit yang ada pada kita sekarang ini. Sebaliknya kita harus memilih beberapa bidang tertentu sahaja dan kita tumpukan tenaga dan peruntukan kita yang sedikit untuk menguasai sepenuhnya bidang-bidang itu. Tidak ada negara di dunia ini yang pakar dan menguasai semua teknologi dan perusahaan. Jika kita tahu memilih bidang-bidang yang sesuai, kemajuan kita tidak akan terjejas. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Menyentuh tentang barangan yang berasaskan petroleum ini, saya berharap pengusaha-pengusaha tempatan akan mengkaji kemungkinan mengeluarkan minyak pelincir dengan menggunakan minyak-minyak keluaran tempatan yang lain daripada petroleum seperti minyak kelapa sawit. Ini bukanlah perkara baru oleh kerana minyak kelapa sawit telah terbukti boleh digunakan untuk pengeluaran minyak disel dan sebagainya. Dengan itu usaha mestilah dijalankan untuk meningkatkan penggunaan bahan-bahan tempatan seperti minyak kelapa sawit ini supaya usaha meningkat nilai barangan atau 'value-added' bahan-bahan mentah keluaran tempatan akan lebih berjaya lagi. Dalam usaha ini kita tidak perlu segan-segan mengadakan 'collaboration' dengan makmal-makmal penyelidikkan di negara-negara lain. Baru-baru ini PORIM telah mengadakan kerjasama dengan Jepun dalam bidang pengeluaram vitamin E dan minyak diesel dan juga dalam penggunaan minyak sawit yang tidak ditapis untuk enjin kereta dan traktor. Ini adalah cuma satu usaha yang kecil sahaja dalam bidang R & D. Di negara maju 4% daripada perbelanjaan kasar diuntukkan kepada R & D. Nyatalah bahawa di Malaysia, kita perlu membelanjakan wang yang lebih banyak untuk R & D daripada apa yang diperuntukkan sekarang. 14. Berbalik kepada perusahaan minyak pelincir, saya berbangga dengan minat dan usaha untuk mengadakan satu perusahaan yang boleh mengurangkan pengaliran tukaran asing serta menambah bidang perusahaan kita. Saya harap lain-lain 'entrepreneurs' di Malaysia akan berusaha mencari perusahaan-perusahaan lain berasaskan kepada minyak yang perlu diadakan di negara ini. Janganlah apabila sahaja satu jenis perusahaan dimulakan, maka berduyun-duyunlah pelabur memasuki bidang yang sama. 15. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Petfina dan juga Kerajaan Negeri Melaka kerana menjemput saya ke sini pagi ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya membuka Kilang Petfina ini dengan rasminya. Terima kasih.
SUMBER :
http://www.pmo.gov.my/
|
No comments:
Post a Comment