DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD | ||
---|---|---|
Tajuk | : | MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN MENGARANG DAN MELUKIS SEJARAH MALAYSIA |
Lokasi | : | BALAI BUDAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KUALA LUMPUR |
Tarikh | : | 11-02-1984 |
Saya berasa gembira kerana berpeluang bersama di upacara penyampaian hadiah Peraduan Mengarang dan Melukis Sejarah Malaysia, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia ini. Sukalah saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi tahniah di atas usaha Persatuan Sejarah Malaysia untuk menimbulkan minat dan kegemaran terhadap hal ehwal sejarah melalui pertandingan mengarang dan melukis seperti yang dianjurkannya ini, di samping menjalankan pelbagai kegiatan yang lain seperti pengeluaran majalah dan makalah kajian sejarah. Semoga usaha ini akan terus dipergiatkan demi untuk perasaan cintakan negara, bangsa serta warisan yang dihayati bersama.
2. Pengetahuan tentang warisan dan sejarah negara memungkinkan kita berfikir dan membuat perhitungan yang waras bagi menyelesaikan masalah-masalah masa kini dan masa depan. Apa yang dinilaikan sebagai baik seharusnya dijadikan pedoman dan yang buruk pula dijadikan sempadan. Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan berkali-kali. 3. Salah satu kesan sejarah yang boleh dijadikan contoh atau pedoman ialah masyarakat akan maju atau mundur mengikut apa yang sepatutnya bagi masyarakat itu. Dalam bahasa Inggeris 'We get what we deserve', yang bermakna jika kita malas dan tidak bertanggungjawab, kita akan rasai kesan darinya; tetapi, jika kita rajin kita akan mendapat hasilnya. Tidak ada gunanya kita menyalahkan orang lain. Soalkan diri sendiri dahulu. 4. Satu perkara yang tidak sepatutnya terlalu mengkagumkan kita ialah kenangan tentang keagungan kita di zaman silam. Masyarakat yang sering bercakap tentang zaman gemilang dahulu ialah masyarakat yang sudah jadi mundur sekarang dan tidak ada lain yang hendak dibanggakan melainkan sejarahnya sahaja. Yang kita hendak ialah pelajaran dari sejarah lama dan kejayaan di zaman ini. 5. Ramai dari kita meraba-raba mencari 'hero' dalam sejarah kita. Kadang-kadang kita tidak begitu menyoal apakah benar 'hero' kita itu sebenarnya 'hero'. Kita lupakan sahaja akan keburukannya dan kita mendewa-dewakannya. Untuk apa? Supaya kita boleh kata kita dari keturunan yang megah. Tetapi semua ini adalah khayalan dan sudahpun tidak ada dan tidak berkesan lagi. Yang penting ialah pencapaian kita sekarang ini. Apakah benar kita boleh berbangga dengan pencapaian kita hari ini? Jika tidak, apakah kita harus khayal dengan yang lama ataupun kita tentukan di mana kita silap dalam sejarah kita dan kita elak dari melakukan kesilapan yang sama sekali lagi. Inilah peranan sejarah, bukan untuk berkhayal dengan 'hero-hero' ciptaan kita, tetapi untuk menentukan di mana kita salah dan apa yang harus kita buat. Kalau rebutan takhta menyebabkan penyerahan negara kita kepada bangsa asing, hari ini jangan kita ada lagi rebutan di kalangan orang yang berkuasa -- iaitu rakyat. Kita patut bersatu hati dan kita tumpukan segala usaha untuk memperkuatkan negara kita. Tidak ada gunanya penukaran sistem jika amalan lama yang melemahkan kita diteruskan. Penerusan amalan lama yang buruk bermakna kita tidak dapat apa-apa pelajaran daripada sejarah kita. 6. Dalam sejarah negeri-negeri dalam Malaysia, tidak ada satu masa yang lebih berpeluang daripada sekarang. Sebelum penjajahan British, negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di Pulau Borneo adalah negeri-negeri yang kecil, yang terasing antara satu dengan yang lain dan pula kerap berperang sesama sendiri. Dalam tiap-tiap negeri itu rebutan tempat dan kuasa berlaku dan kuasa asing sering dijemput untuk membantu pihak ini dan pihak itu. Akhirnya kesemua negeri-negeri ini jatuh ke tangan British dan menjadi tanah takluk British. 7. Tetapi sekarang kita sudah merdeka dan semua negeri-negeri di Semenanjung dan utara Pulau Borneo adalah disatukan. Kita menjadi sebuah negara yang besar dan boleh menentukan nasib kita, kemajuan negara kita, dan kebahagian hidup rakyat kita. Tetapi, oleh kerana kita tidak mengetahui dan mempelajari dari sejarah kita, maka kita timbulkan bermacam-macam halangan terhadap pembangunan negara kita. 8. Jika sejarah menjadi panduan kita maka apa yang perlu kita buat sekarang ialah mengukuhkan perpaduan, mengurus pemerintahan dengan baik, merancang pembangunan, melaksanakan rancangan ini dengan penuh minat dan dedikasi dan seterusnya jika ada apa-apa yang terkurang maka tindakan mestilah diambil untuk mengisi kekurangan ini. Jika kita kurang ilmu, maka hendaklah kita berusaha mempelajari dan mengumpul ilmu-ilmu ini. Jika kita kekurangan kecekapan maka hendaklah kita latihkan diri sehingga kita cekap. Jika kita miskin maka hendaklah kita berusaha untuk mendapatkan kekayaan. 9. Mungkin ada halangan dan rintangan. Mungkin ada pengorbanan yang perlu dibuat. Semua masalah boleh kita atasi asalkan sahaja kita tahu tentang akibat buruk yang akan menjadi nasib kita jika kita tidak membuat apa yang perlu seperti yang kita pelajari daripada sejarah kita. 10. Jika sejarah negara-negara di dunia dikaji, maka kita tidak dapat tidak akan kagum bagaimana banyaknya negara-negara yang mengalami nasib yang lebih kurang sama. Kita akan dapati bahawa negara-negara biasanya muncul, menjadi maju, meningkat ke puncak kemajuan dan selepas itu akan mula merosot dan menjadi daif. 11. Ada kalanya negara-negara ini terus hilang dari muka bumi. Demikianlah dengan Carthage, Old Egypt, Byzantium, Rome, Empayar Mogul, Empayar Inca, Empayar Islam, Majapahit, Sri Vijaya dan lain-lain lagi. Tetapi ada pula yang berjaya membangun semula setelah beberapa kurun lemah atau dijajah. Ada pula yang kemajuannya terhad dan tidak pernah meningkat ke puncak. 12. Soal yang perlu ditanya ialah apakah sebabnya yang sesuatu bangsa yang biasa maju boleh menjadi mundur sehingga ditenggelami sejarah. Di sinilah pengetahun sejarah yang mendalam amat berguna untuk kita mencapai kemajuan dan mengelak dari nasib buruk yang mungkin menimpa kita setelah maju. Jika sejarah dikaji, maka kita akan lihat peranan nilai-nilai yang mulia dalam menjayakan sesuatu bangsa. Biasanya bangsa yang akan berjaya memberi nilai yang tinggi kepada kerajinan, keberanian, amanah dan kejujuran. Ilmu pengetahuan dimuliakan dan demikian juga kecekapan dalam bidang-bidang tertentu. Apabila nilai-nilai ini sudah menjadi sebahagian daripada kebudayaan sesuatu bangsa, maka bangsa dan negara itu akan mencapai kejayaan yang cemerlang. Pengaruh mereka akan berkembang dan mereka akan dihormati dan disegani. 13. Buat beberapa lama kedudukan tinggi mereka akan terpelihara. Tetapi kerapkali kemewahan dan kesenangan mengubah nilai hidup mereka. Kerajinan dan keberanian tidak dihargai lagi. Mereka mengguna hamba atau orang-orang di bawah takluk mereka untuk tugas berperang atau bekerja berat. Mereka tidak menuntut ilmu lagi. Amanah merosot. Kadang-kadang mereka terlalu asyik dengan keseronokan atau dengan falsafah tinggi atau dengan kepercayaan yang tidak berasas. Sedikit demi sedikit mereka pun mula menjadi lemah dan mundur. Semakin lemah dan mundur mereka, semakin banyak mereka bergantung kepada orang lain untuk bermacam-macam kepentingan mereka. Akhirnya orang yang mereka kuasai dahulu menguasai mereka dan sejarah mereka pun tamat. Kadang-kadang kesedaran timbul semula dan bangsa dan negara mereka dipulih semula. Tetapi, seperti Phoenicia dan Sri Vijaya, kedua-duanya tidak bangun semula dan hilang dari muka bumi ini. 14. Inilah pelajaran-pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah. Mempelajari sejarah sebagai bahan akademik, sebagai satu daripada bidang kemanusiaan adalah terlalu sempit dan cetek. Sejarah mesti dipelajari kerana kita ingin mendapat panduan daripadanya, kerana kita ingin mengelakkan daripada malapetaka, dan dari dimusnahkan oleh masa. Inilah peranan sejarah, inilah gunanya yang sebenar. 15. Saya berbangga dengan minat saudara-saudari terhadap sejarah. Tetapi, janganlah lupa akan pelajaran yang boleh diperolehi darinya -- pelajaran moral yang boleh menentukan sama ada kita berjaya atau tidak. 16. Akhirnya, sukalah saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Persatuan Sejarah Malaysia kerana berjaya menganjurkan Peraduan Mengarang dan Melukis Sejarah ini. Kepada pemenang-pemenang, saya mengucapkan tahniah. Terima kasih.
SUMBER :
http://www.pmo.gov.my/
|
No comments:
Post a Comment