Friday, January 18, 2013

Orang Melayu belum selamat, kata Mahathir


Orang Melayu masih belum selamat bukan hanya kerana perlu berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) yang biasa, sebaliknya satu pemilihan yang bakal menentukan percaturan survival di masa depan.
Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

Beliau berkata, terdapat dua senario masyarakat Melayu hari ini iaitu mereka yang sedar dan tidak sedar tentang nasib bangsa Melayu.

“Bagi yang sedar mereka akan kekalkan kedudukan ini, bagi yang tidak sedar mereka akan kata keadaan sekarang adalah biasa dan kita tidak perlu identiti diri kita sebagai Melayu lagi dan kita juga akan berjaya.

“Saya berpendapat walaupun sudah ada orang Melayu yang berjaya, tetapi umumnya masih ramai tidak berjaya dan tidak mungkin berjaya jika tidak beri tongkat (bantuan),” katanya pada program Bicara Minda di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Antara yang hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Datuk Abdul Rahim Hassan dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.


Pada program itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku  Berani Tanpa Segan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad, kompilasi artikel yang disiarkan setiap hari Ahad di Sinar Harian.


Menurut Dr Mahathir, berdasarkan kejayaan orang Melayu hari ini, beliau berpendapat sekiranya bantuan awal tidak diberi belum pasti kejayaan tersebut dapat diraih.
Katanya, terdapat generasi muda yang beranggapan apa salahnya jika kemelayuan itu dilupakan dan diganti dengan konsep Malaysia.


"Apabila datang pendapat seperti itu dan tiada penjelasan diberi maka, wujud idea yang kata kita tidak perlu utamakan bangsa Melayu kita itu.


"Jadi, kita akan ketepikan keperluan kita, dan fikir kehidupan kita terus maju kerana kita orang Malaysia yang hidup dalam negara cukup maju,” katanya.
Katanya, zaman sekarang, masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah selamat.


"Hakikatnya, Melayu masih belum selamat. Kalau boleh, sedarkan mereka, jangan terlalu mengutamakan kepentingan diri dan fahaman kolot.


"Pas hanya memperalatkan masyarakat Melayu dengan agama Islam untuk kepentingan parti untuk menang dalam pilihan raya," katanya.

Dalam pertemuan yang sama, Dr Mahathir turut menjelaskan masyarakat Melayu di negara ini masih tidak bersatu, berbeza dengan zaman pemerintahan British.


"Dulu masyarakat Melayu setia kepada raja dan negeri dan mereka tidak anggap sebagai bangsa Melayu. Tapi, apabila tertekan, mereka mula bersatu.


"Cuma, masalahnya, ketika itu mereka miskin, tiada senjata dan tidak ada pemimpin. Penyatuan itu berjaya mengalahkan British," katanya.


Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku.



sinar harian 

No comments:

Post a Comment