Desakan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu hanya agenda untuk menipu umat Islam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, permintaan itu tidak dapat diterima sama sekali kerana penggunaan kalimah Allah selama ini termasuk di negara-negara luar adalah sebagai tujuan menyebarkan agama bukan Islam dalam masyarakat yang sudah biasa dengan kalimah Allah dalam merujuk kepada tuhan.
Sedangkan kata beliau, penulisan asal Bible tidak menyebut perkataan Allah bagi merujuk kepada tuhan dan keadaan sama juga berlaku kepada orang Yahudi yang tidak menyebut tuhan menggunakan kalimah Allah sebaliknya menggunakan perkataan Yahuweh.
Beliau berkata, umum mengetahui kalimah Allah sama sekali tidak boleh disamakan dengan mana-mana kepercayaan serta dimasukkan ke dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
"Jika mereka hendak juga tukar panggilan dalam Bible sedia ada atau yang berbahasa Melayu, carilah perkataan lain yang sesuai, bukannya perkataan kalimah suci Allah.
"Kalimah Allah sama sekali tidak sesuai digunakan kerana paling agung bagi umat Islam, Allah hanya satu dan apa yang digambarkan di dalam Bible sama sekali berbeza dengan ajaran Islam," katanya dalam program 'Bicara Minda Tun Dr. Mahathir Mohamad: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU-13' di sini hari ini
Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencetuskan kontroversi kerana meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu sehingga mengundang bantahan umat Islam.
Dr. Mahathir berkata, dalam menghadapi isu-isu seperti kalimah Allah umat Islam perlu mendalami ilmu pengetahuan dan bukannya menentang sesuatu perkara berlandaskan emosi semata-mata.
"Kita lihat semua ini berdasarkan ilmu dan pengetahuan, namun kita malas serta tidak berpengetahuan dalam hal berkenaan dan hanya bangkit menentang menggunakan emosi sahaja, tidak bolehlah macam itu, tidak kena," katanya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment