Wednesday, December 12, 2012

PBB 'iktiraf separa' Palestin bukti dunia tidak adil

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata 'pengiktirafan separa' Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Palestin adalah bayangan kepada 'yang kuat mengambil apa yang mereka mahu dan yang lemah terpaksa mengalah'.

Pengiktirafan separa terhadap Palestin adalah bukti manusia hidup dalam dunia yang tidak adil, undang-undang tidak dapat ditegakkan dan pihak yang kuat adalah betul, katanya.

"Dahulu tidak ada negara Israel di tempat sekarang. Yang ada hanya negara Palestin. Sekarang yang ada negara Israel tetapi tiada negara Palestin. Kenapa?

"Kerana Israel, ciptaan palsu Barat ini bersama sekutunya Amerika Syarikat, menentang pengiktirafan wujudnya negara Palestin," katanya menerusi entri terkini blog beliau chedet.cc hari ini. 

Dr Mahathir berkata yang ada hanya Pihak Berkuasa Palestin, satu entiti tidak bermakna yang tidak ditemui di tempat lain dan tidak dibenar mengutip cukai.

Israel dan Amerika Syarikat 'dengan baik hatinya' mengutip semua cukai bagi Pihak Berkuasa Palestin, katanya.

"Cukai itu hak penduduk Palestin. Sekarang bagi menghukum mereka kerana mendapatkan pengiktirafan separa daripada PBB, Israel dan Amerika Syarikat mengugut tidak mahu menyerahkan kutipan cukai kepada mereka yang berhak," katanya.

Dr Mahathir berkata sikap sebegini tidak boleh diterima terutama daripada negara yang kononnya demokratik, akan tetapi sikap hipokrit itu sudah dijangka.

"Dalam semua perkara membabitkan konflik antara Israel dan Palestin, aspek keadilan tidak pernah berlaku. Yang berlaku ialah yang kuat ambil apa yang mereka mahu dan yang lemah terpaksa mengalah. Inilah dunia kita sekarang," katanya.

sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment