BOKO HARAM
Dr Mahathir Mohamad
1. Di Nigeria hari ini terdapat kononnya gerakan Islam yang bernama “Boko Haram”. Saya tidak pasti makna “Boko” tetapi bunyinya semacam dengan “Buku” dalam Bahasa Melayu. Mungkin yang dimaksudkan dengan “Boko” ialah Kitab Injil.
2. Walau apa pun maknanya yang jelas ialah kumpulan “Boko Haram” ini sedang membunuh orang Kristian dan menyerang gereja mereka. Tetapi mereka juga membunuh ramai orang Islam, bahkan lebih ramai orang Islam yang dibunuh dari orang bukan Islam.
3. Inilah yang sering berlaku apabila sekumpulan orang Islam anggap hanya mereka sahaja yang betul-betul Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan boleh dibunuh.
4. Kita orang Melayu di Malaysia semuanya terdiri dari Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berimam dengan Imam Shafie. Sepatutnya kita tidak menghadapi apa-apa masalah fahaman Islam yang berbeza-beza. Malangnya Islam diperalatkan oleh segolongan politikus sehingga berlaku tuduhan bahawa orang yang tidak bersama dengan parti mereka tidak Islam dan murtad. Walaupun mereka tidak ganas seperti “Boko Haram” tetapi permusuhan oleh orang yang anggap mereka sahaja yang Islam dengan orang yang tidak bersama dengan mereka yang didakwa tidak Islam berjaya memecah-belah dan melemahkan orang Islam di negara ini. Apabila lemah maka mudahlah orang Islam diperkosa oleh orang lain.
5. Kita sering dengar tokoh-tokoh agama mendakwa bahawa orang Islam itu adalah bersaudara. Tetapi ayat Al Quran ini hanya dibibir mulut sahaja. Amalannya berlainan.
6. Kata pihak yang memurtadkan seteru politik mereka, mereka memurtadkan seteru politik kerana tidak melaksanakan syariat Islam. Benarkah? Apa yang dilakukan oleh kita dilakukan juga oleh negara-negara lain yang diiktiraf sebagai negara Islam dengan penduduk yang diterima sebagai penganut agama Islam. Jika kita murtad maka kebanyakkan orang Islam didunia ini tentulah murtad juga. Kenapakah yang mendakwa tiga juta orang UMNO murtad tidak pula mendakwa umat Islam di negara-negara yang kononnya tidak laksana syariat Islam adalah murtad? Sebabnya ialah kerana tidak menguntungkan politik mereka.
7. Apakah yang dimaksudkan dengan syariat Islam? Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana penyanyi dibenarkan menyanyi di Malaysia maka ini bermakna Kerajaan Malaysia tidak mengamalkan syariat Islam. Kalau ini bermakna tidak mengikut syariat Islam maka hampir semua negara Islam tidak mengikut syariat Islam.
8. Kita harus ingat di Malaysia bukan sahaja ada orang Islam tetapi 40% dari penduduk Malaysia terdiri dari bukan Islam. Sesuatu yang tidak disukai oleh Allat SWT yang disebut dalam Al Quran ialah mereka yang mencetus huru-hara. Dalam melaksanakan syariat Islam di Malaysia cara yang sesuai ialah dengan tidak mencetuskan huru-hara. Kelonggaran yang diberi dalam perlaksanaan syariat Islam membolehkan kita bertindak dengan mengambilkira keadaan dalam melaksanakan hukum-hukum Islam. Yang suka menjadikan Islam agama yang keras dan tidak bertimbangrasa serta tidak berperikemanusian ialah pentafsir yang berkepentingan. Demikian ada orang Islam yang menganggap orang tidak berjanggut tidak Islam dan perlu disembelih. Demikian juga gerakan Boko Haram yang membuat syarat-syarat tersendiri untuk diterima sebagai orang Islam dan membunuh orang yang tidak patuh pada syariat ciptaan mereka.
9. Pelaksanaan syariat Islam di Malaysia mungkin berlainan dari penguatkuasaan syariat Islam di negara yang penduduknya semuanya Islam. Kita tidak ambil kisah dengan amalan dan budaya orang bukan Islam. Kita tahu apabila percubaan dibuat untuk memaksa bukan Islam amal nilai hidup Islam seperti tidak membenar lelaki potong rambut wanita dan sebaliknya, akhirnya ia hanya memalukan orang Islam dan Islam apabila terpaksa dibatalkan. Demikian juga dengan tuduhan khalwat yang dilakukan oleh orang bukan Islam.
10. Sebaliknya apabila syariat Islam dibuat dengan menyediakan bank Islam yang bebas dari riba, Universiti Islam, Pengurusan Tabung Haji bagi menentukan amalan ini lebih sempurna, perkembangan ajaran Islam dengan mengadakan sekolah-sekolah agama, pengurusan zakat yang lebih tertib dan berbagai lagi, tidak ada huru-hara yang berlaku. Demikian dengan penguatkuasaan undang-undang Islam di kalangan orang Islam dan penentuan undang-undang yang terpaksa dikenakan kepada penganut-penganut agama yang berlainan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
11. Menggalakan gerakan seperti Boko Haram atau memurtadkan orang Islam tanpa usul periksa bukan cara kita, bahkan bukan cara Islam pun.
12. Janganlah sesiapa cuba menghalalkan perbuatan salah mereka dengan menyalahguna undang-undang Islam. Mereka yang berbuat demikian perlu bertaubat. Sudah tentu mereka wajib tarik balik dakwaan kononnya ahli UMNO murtad. Ingatlah bagaimana dahulu PAS mendakwa UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam. Seperti yang dijanji dalam Al Quran tuduhan ini kembali kepada yang menuduh kerana mereka sekarang bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir, bahkan sanggup mati mempertahankan pemimpin orang kafir…….perbuatan mereka mengikut mereka sendiri menjadikan mereka kafir.
13. Janganlah hendaknya dakwaan oleh mereka bahawa orang UMNO murtad akan kembali kepada mereka. Orang Islam tidak perlu berlaku ganas kerana agama Islam tidak menyuruh kita melaku ganas atau ketidakadilan kepada sesiapa.
Agama Islam adalah agama keamanan, agama yang mengajar kita supaya melaku adil dan tidak mencetuskan huru-hara.
sumber :
http://chedet.cc/
No comments:
Post a Comment