Monday, October 8, 2012
Orang Melayu perlu syukur dengan jasa BN
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbang dengan sikap orang Melayu, khususnya generasi muda yang tidak bersyukur dan menghargai jasa kerajaan selama ini dalam memberi keselesaan kepada mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata sebaliknya golongan tersebut menolak dan menuduh kerajaan sebagai "penindas".
Sebagai contoh katanya, apabila mereka dihantar belajar ke luar negara dan pulang ke tanah air, mereka menolak kerajaan yang memberi nikmat kepada mereka kononnya kerajaan tidak adil dan menindas orang lain.
"Kalau kita bersyukur, akan mendapat banyak lagi nikmat, sebab itu, kita perlu selalu bersyukur sekali gus dapat membentuk masyarakat yang baik dan mampu berjaya," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis sarapan bersama alumni Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Melaka 1982-1986, di sini hari ini.
Katanya ramai dalam kalangan generasi muda juga mudah terpengaruh dengan pihak tertentu dan gagal menggunakan pengetahuan mereka dengan bijaksana.
"Selain daripada ilmu pengetahuan, apa yang lebih penting ialah nilai moral kerana ilmu saja tidak akan membentuk mereka menjadi sesuatu yang baik...ilmu tidak menjamin generasi muda dan akan datang untuk memimpin kemajuan negara," katanya.
Sehubungan itu katanya pelajar perlu disemai dengan nilai-nilai positif serta mempelajari sejarah agar mampu mempertahankan diri daripada pengaruh negatif.
Dr Mahathir berkata pembangunan dan keharmonian dikecapi hari ini tidak akan kekal jika rakyat hidup dalam suasana bertelagah dan berpecah-belah.
Keamanan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum merupakan anugerah yang tidak ternilai kerana tidak semua negara menikmatinya, katanya.
SUMBER : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment