Monday, October 22, 2012
Dr M kecewa seni bina Putrajaya hilang unik
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi 'arkitek' pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat hampir dua dekad lalu, kecewa kerana ia sudah mula hilang keunikan asalnya.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri berkata, beliau berharap Putrajaya Holdings akan mengekalkan keunikan seni bina termasuk aspek ciri-ciri Islam seperti yang ditekankan di peringkat awal pembangunannya.
"Putrajaya Holdings, tolong, kekalkan keunikan seni bina Putrajaya," tulis beliau di blognya hari ini.
Dr Mahathir berkata, sebuah bangunan baru yang ditambah di Putrajaya terdiri daripada kaca tidak sedikit pun menggambarkan ciri-ciri Islam, yang tidak ada sifat-sifat imaginatif kerana ia kelihatan seperti kotak yang disusun antara satu sama lain.
“Saya tidak menafikan binaannya hebat, tetapi ia kelihatan hebat jika dibina di New York, bukan di Putrajaya,” kata beliau lagi yang bersara sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003.
Idea membangunkan Putrajaya, yang namanya diberikan sempena sumbangan Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri perrtama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, datang daripada Dr Mahathir, yang merupakan Perdana Menteri keempat dan menerajui pentadbiran Kerajaan Pusat dari pusat itu sejak 1999. Ia mula dibina awal 1990-an.
Mengikut makluman laman web Perbadanan Putrajaya, pelaksanaan pembangunan bandar baru ini telah bermula pada Ogos 1995.
Katanya, jika Putrajaya dibangunkan sepenuhnya, ia akan menawarkan sejumlah 64,000 unit perumahan yang dapat menampung keperluan lebih kurang 320,000 penduduk.
Putrajaya yang mempunyai keluasan 4,931 hektar terletak dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang strategik. Ia terletak di lokasi 25 kilometer ke selatan Kuala Lumpur dan 20 kilometer ke utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Malah menurut laman web Perbadanan Putrajaya, Putrajaya dibangunkan berasaskan tema “Bandar Dalam Taman”. Sejumlah 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan Putrajaya telah dibangunkan untuk kegunaan taman, tasik dan wetland, Manakala kawasan selebihnya meliputi kegunaan pejabat-pejabat.
Dr Mahathir turut menzahirkan kekecewaannya terhadap Putrajaya Holdings yang mengubah struktur binaan hingga melupakan ciri-ciri Islam yang sepatutnya diterapkan di setiap bangunan di Putrajaya.
“Saya ada mengunjungi London baru-baru ini, anda boleh lakukan apa saja yang anda suka di dalam rumah di sana, tetapi setiap unsur binaan di dalamnya akan membuatkan anda terus sedar yang anda berada di London.
“Jadi, saya berfikir, satu abad dari sekarang, saya mahu mereka yang mengunjungi Putrajaya sedar mengenai keunikan seni bina bandarnya,” ujarnya.
Beliau menambah, setiap negara mempunyai seni bina tersendiri dan pemaju di sana masih mampu menguruskan dan menjadikan negara mereka secara variasi dan terperinci agar ia tidak lari dari ciri-ciri asal negara mereka.
“Saya percaya setiap orang yang melihat seni bina tertentu di sana akan terus mengingati keunikan Putajaya dan jika ciri-ciri yang sedia ada hilang, tidak mungkin pengunjung dapat melihat keunikan sedia ada ini.
“Ini hanya pendapat saya, mungkin pihak lain akan berfikir sebaliknya,” katanya.
sumber : SINAR HARIAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment