Sunday, September 23, 2012

Dr M: Kuasa asing mahu perubahan rejim di Malaysia

Beberapa kuasa asing sememangnya amat berharap berlaku perubahan rejim di Malaysia dengan membiayai pertubuhan propembangkang tempatan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, matlamat utama mereka ialah untuk melihat pelantikan seorang pemimpin yang boleh mengikut telunjuk mereka. Dr Mahathir berkata, pembiayaan oleh National Endowment for Democracy dan badan tajaan spekulator matawang warga Amerika George Soros iaitu Open Society Institute (OSI), atas nama demokrasi serta kebebasan, bukan sahaja jahat malah menunjukkan niat tersembunyi bagi mengawal politik dalaman negara ini. “Dia punya tujuan, baik liberal west, baik Soros, nak satu Perdana Menteri yang boleh dia guna. “Sebab itu, dia nak perubahan rejim di Malaysia supaya orang yang jadi Perdana Menteri boleh ikut telunjuk dia,” katanya ketika diminta mengulas pengakuan portal berita bahawa ia menerima pembiayaan asing termasuk daripada OSI. Terdahulu, ketika merasmikan Perundingan Pakar Peringkat Tinggi berhubung Islam dan Kesihatan Wanita anjuran Persekutuan Perancangan Kekeluargaan Antarabangsa (IPPF), Dr Mahathir berkata umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran sebagai cara hidup dan sumber kekuatan. Beliau berkata, kejadian yang menimpa kebanyakan masyarakat Islam di dunia hari ini adalah kerana mereka terpesong daripada al-Quran. “Kini kita kurang berpegang kepada al-Quran, tetapi lebih memberi perhatian terhadap apa yang dianjur oleh sunnah dan hadis, yang sebenarnya merupakan pilihan. Dengan itu, kita mewujudkan masalah untuk diri kita sendiri. “Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran kerana ia adalah sumber kekuatan kita untuk menjadi orang berjaya,” katanya. SUMBER : sinar harian

No comments:

Post a Comment