Thursday, September 20, 2012
Dr M: Boleh tegur pemimpin tapi biar beradap
Tidak salah untuk menegur pemimpin jika mereka dilihat menyimpang daripada usaha membangunkan rakyat dan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun kata beliau, teguran harus dilakukan secara beradab dan kena pada masanya selain mengemukakan pendapat yang boleh dipertimbang pemimpin.
"Saya fikir pemimpin juga harus terbuka kepada sebarang teguran. Ketika zaman saya (sebagai Perdana Menteri), saya ditegur Tengku Razaleigh Hamzah dan (Tun) Musa Hitam, serta ramai lagi yang marah dengan saya," katanya kepada pemberita di Johor Bahru semalam
Beliau yang ditemui selepas 'Diskusi Kepimpinan Perdana Mahasiwa Universiti Teknologi Malaysia', berkata pada masa yang sama pemimpin juga tidak harus terlalu lama memegang kuasa dan berundur apabila tiba masanya, sekalipun masih popular dalam kalangan rakyat.
Untuk tujuan itu, Dr Mahathir berkata seseorang pemimpin harus bijak membaca isyarat masyarakat dan akur dengan kehendak akar umbi yang mahu mereka berundur.
Dalam pada itu, beliau berkata seseorang pemimpin juga harus diberi masa yang secukupnya untuk memimpin bagi membolehkannya melaksanakan segala usaha yang direncana demi kebaikan rakyat.
"Jika masa yang diberi terlalu pendek, seorang perdana menteri tidak akan mempunyai masa A: mempelajari bidang tugasnya, B: merangka dasar, dan melaksanakan dasar.
"Adakah lima tahun, 10 tahun? Sesetengah negara mengehadkan kepada lima tahun, itu tidak bagus. Jika seorang pemimpin sedar beliau harus berundur dan jika dia akur, saya fikir setidak-tidaknya rakyat akan terus menghargainya," kata beliau.
Katanya rakyat perlu memberi masa kepada pemimpin "melainkan jika dia sangat jahat, memenuhi saku sendiri, mengutamakan keluarga dan seumpamanya. Jika dia bukan seperti itu, anda harus benarkan dia berkhidmat sekurang-kurangnya sepenggal."
Mengenai pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata masalah dalam Barisan Nasional (BN) kini ialah terlalu ramai yang berasakan mereka calon terbaik.
-
Apabila tidak dipilih sebagai calon, mereka ini akan berusaha sedaya upaya memastikan calon yang dipilih tidak menang, katanya.
Beliau juga berpandangan perasaan benci kepada kerajaan yang ditiup oleh pembangkang sekarang mampu menghalang BN daripada menguasai pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga.
Disebabkan sentimen itu, rakyat kata Dr Mahathir, lupa segala jasa kerajaan dan menumpukan hanya kepada perkara buruk.
"Semua pemimpin ada buruk baiknya dan anda harus pertimbang berapa banyak yang baik dan berapa banyak yang buruk. Ini semua bergantung kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih dan jika mereka membuat pilihan berdasarkan rasa marah atau benci atau rasuah, saya fikir mereka tidak akan dapat pemimpin yang bagus," katanya.
Mengenai diskusi bersama 2,000 pelajar sebelum itu, Dr Mahathir yakin mereka dapat membantu memacu pembangunan negara menjelang 2020, asalkan mereka berpegang kepada nilai-nilai murni dan mempunyai pemikiran yang tepat.
Beliau juga memberi jaminan suara pelajar akan terus teguh dan didengari kerajaan asalkan luahan dibuat menerusi saluran yang betul, bukan membuat bising ketika demonstrasi jalanan.
Dr Mahathir berkata semua pelajar terbabit berpotensi menjadi pemimpin pada masa depan, selagi mereka sedar bahawa perjuangan adalah untuk kepentingan rakyat bukan diri sendiri.
sumber - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment