Thursday, January 12, 2012

Ahli politik perlu bersikap terbuka hadapi tohmahan - Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap ahli politik perlu bersikap terbuka dalam berhadapan dengan apa jua tohmahan yang dilemparkan oleh musuh mereka.

Menurut beliau, walaupun penyelesaian terhadap segala tohmahan itu wajar dilakukan secara penghakiman di mahkamah, mereka tidak seharusnya 'membiasakan' diri berbuat demikian.

''Kalau kita perhatikan politik di Malaysia hari ini, ia sering diwarnai dengan tindakan mahkamah. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah kini cukup banyak dan membabitkan jumlah saman berjuta ringgit.

''Oleh itu, sebagai ahli politik, mereka perlu bersedia menerima bahawa mereka akan sentiasa ditohmah oleh pihak lawan. Bergantung kepada mereka untuk menangkis balik tohmahan itu. Mereka tidak perlu sentiasa menyaman di mahkamah.

''Kepada yang beragama Islam pula, seharusnya mereka bersedia untuk bersumpah dengan sebenar-benarnya bahawa tiada kebenaran terhadap tohmahan atau dakwaan berkenaan,'' katanya dalam entri terbaru di blognya, http://chedet.cc/blog hari ini.

Dr. Mahathir berkata, secara realiti, setiap ahli politik perlu memahami perjalanan proses penghakiman di negara ini dengan tindakan undang-undang yang dilakukan oleh seseorang itu hanyalah bertujuan untuk 'menutup mulut' lawan mereka.

''Di Malaysia, apabila kes didengar di mahkamah, ia menjadi 'subjudice' dan sebarang komen di luar mahkamah boleh dianggap menghina mahkamah.

''Melihat perjalanan penghakiman di mahkamah, bagi pihak yang didakwa, banyak wang perlu disediakan bagi kos guaman.

''Saya sendiri telah disaman RM100 juta. Tetapi, selepas lima tahun, saya menang dan 'dianugerahkan' RM70,000 yang sudah tentu pergi kepada peguam saya,'' tambahnya.

Dalam pada itu katanya, walaupun sesuatu kes dikendalikan hakim berpengalaman, masih terdapat tunggakan dalam pengendalian sesuatu kes yang melibatkan sivil atau jenayah.

''Ini kerana proses perbicaraan mungkin mengambil masa yang begitu lama,'' katanya.

SUMBER :UTUSAN

No comments:

Post a Comment