Saturday, April 16, 2011
Sokong produk tempatan - Dr. M
Tun Dr. Mahathir Mohamad kesal dengan sikap sesetengah rakyat negara ini yang sering menganggap barangan buatan tempatan sebagai tidak berkualiti.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, produk yang dikeluarkan syarikat tempatan memerlukan sokongan rakyat negara ini supaya ia dapat dikembangkan ke pasaran antarabangsa.
"Jika kita sentiasa ragu-ragu dengan produk tempatan, maka sukar untuk syarikat anak tempatan memasuki pasaran antarabangsa," katanya selepas melancarkan kapal tunda sepanjang 36 meter yang dibina syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. untuk Marine Services Co. Ltd. dari Arab Saudi di Kampung Sijangkang di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas perkara sama, Dr. Mahathir berkata, rakyat negara ini perlu menjadikan Jepun sebagai contoh kerana rakyat negara itu sentiasa menyokong produk buatan mereka.
"Di Jepun, rakyatnya akan tetap menggunakan kereta buatan mereka walaupun kereta yang dikeluarkan mempunyai masalah tertentu. Sebaliknya, kita di Malaysia lebih gemar mengkritik kereta buatan Proton yang merupakan produk tempatan," jelasnya.
Dalam pada itu ketika berucap pada majlis itu, Dr. Mahathir berkata, beliau berbangga dengan NGV Tech Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh anak Melayu kerana telah terbukti berjaya membina kapal bertaraf antarabangsa.
"Saya lihat, syarikat ini dimiliki oleh orang Melayu dan pekerjanya juga ramai di kalangan orang Melayu dan ini membuktikan yang Melayu boleh bersaing di peringkat antarabangsa.
"Orang Melayu hanya perlu berusaha dengan lebih gigih jika ingin berjaya dan jika ini diteruskan, saya yakin Wawasan 2020 akan dapat dicapai," ujarnya.
Tambahnya, semasa melihat brosur mengenai NGV Tech, beliau sendiri tidak yakin terhadap kemampuan syarikat itu membina kapal-kapal berspesifikasi tinggi termasuk untuk pelanggan dari luar negara seperti industri minyak dan gas.
Namun, setelah melawat NGV Tech tahun lepas dan melihat sendiri, barulah beliau yakin terhadap kemampuan syarikat pembinaan kapal tempatan yang diterajui sepenuhnya oleh usahawan bumiputera itu.
sumber :Utusan
No comments:
Post a Comment