Oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
1. Filem dan T.V. cerita yang paling popular di kalangan orang Melayu ialah berkenaan dengan hantu, pelesit, orang halus dan berbagai-bagai makhluk ghaib. Mereka bukan sahaja suka lihat dan dengar cerita-cerita berkenaan makhluk ghaib ini tetapi mereka amat mempercayai adanya makhluk ini dan kuasa luar biasa mereka ke atas manusia. Mereka diberi kuasa yang kadang-kadang menyamai Tuhan yang mereka sembah. Mereka mencari jalan supaya dilindungi dari makhluk ghaib. Dalam usaha ini mereka kerap mengguna doa dari agama Islam yang mereka anuti. Walaupun mereka percaya Allah S.W.T. boleh melindungi mereka tetapi kepercayaan bahawa makhluk ini juga memiliki kuasa ke atas mereka bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang berkuasa ke atas segala-gala yang ada di dunia dan akhirat.
2. Kerana percaya akan kuasa makhluk ghaib ini mereka sering mengadakan acara yang dicampur aduk dengan agama yang kononnya boleh melindungi mereka daripada diserang oleh hantu jembalang dan orang halus.
3. Dalam Al-Quran tidak ada disebut berkenaan hantu dan orang halus. Yang disebut dalam al-Quran ialah shaitan, iblis dan jin yang suka memesongkan orang Islam daripada membuat suruhan Allah S.W.T. Iblis dan shaitan boleh disangkal dengan membaca ayat-ayat tertentu yang boleh mengukuhkan semula iman dan pegangan kepada ajaran Islam.
4. Di masa-masa yang lampau ini kita dapati ramai yang berusaha untuk melindungi pejabat dan hospital Kerajaan dari hantu dan orang halus. Acara ini termasuklah menanam telor, menyimbah air dan membaca doa-doa tertentu yang telah dikenalpasti oleh bomoh-bomoh. Ada juga yang menanam botol air di sudut-sudut tertentu bangunan berkenaan.
5. Yang anehnya Mat Saleh yang tidak percaya kepada hantu dan orang halus ini tidak dikacau oleh makhluk-makhluk ini. Mereka tidak perlu jampi dan simbah air di keliling bangunan-bangunan mereka.
5. Yang anehnya Mat Saleh yang tidak percaya kepada hantu dan orang halus ini tidak dikacau oleh makhluk-makhluk ini. Mereka tidak perlu jampi dan simbah air di keliling bangunan-bangunan mereka.
6. Saya ingin tahu dari ulama-ulama akan kebenaran adanya hantu dan orang halus ini. Dari mana mereka datang. Apakah kedudukan mereka dalam agama Islam. Jika kita percaya mereka berkuasa dan kita perlu layan mereka jika ingin selamat, apakah tidak kita memperduakan Allah S.W.T. atau memberi kuasa kepada yang lain dari Allah yang kita sembah?
7. Saya percaya akan kejahatan manusia dan betapa ganasnya mereka. Tetapi saya tidak percaya dan tidak takut kepada orang halus atau lain-lain makhluk ghaib. Saya juga tidak percaya ada cara untuk jadi kebal dari tikaman dan peluru.
8. Dengan kenyataan ini akan adalah percubaan oleh orang tertentu dengan “ilmu ghaib” mereka untuk mengajar saya. Saya cuma akan menuntut pertolongan dari Allah S.W.T terhadap orang seperti ini.
sumber :
No comments:
Post a Comment