Monday, December 30, 2013

ORANG HALUS DAN HANTU JEMBALANG II

Oleh YABhg Tun DR Mahathir bin Mohamad

1. Saya amat tertarik dengan komen terhadap tulisan saya berkenaan tajuk di atas. Ada yang cuba takrifkan iblis, syaitan dan jin sebagai orang halus. Sebenarnya kita tidak diberitahu dalam Al-Quran besar atau kecilnya iblis, syaitan dan jin. Yang kita diberitahu ialah iblis dan syaitan cuba memengaruhi pemikiran kita supaya membelakangkan ajaran Islam, melakukan yang dilarang, yang tidak baik. Untuk menghalang pengaruh mereka kita membaca ayat-ayat Al-Quran supaya dikukuhkan iman kita semula.
2. Tetapi orang yang percaya kepada orang halus ini meminta izin daripada mereka ini apabila masuk hutan atau tempat-tempat tertentu. Air jampi disimbah kesana-sini. Ini bermakna kita memberi kuasa kepada makhluk ghaib ini. Al-Quran tidak menyuruh kita meminta perlindungan daripada iblis dan syaitan yang kononnya adalah orang halus dan makhluk ghaib.
3. Antara makhluk yang ghaib dengan ghaib terdapat perbezaan yang banyak. Kita tidak dapat lihat tuhan kita Allah s.w.t., malaikat, syurga dan neraka. Tetapi sebagai orang Islam kita terima adanya semua ini. Tetapi dalam fahaman orang Melayu ada pula makhluk lain yang kita tidak nampak tetapi berkuasa keatas kita. Janganlah cuba menyamakan hantu jembalang, pelesit dan orang halus dengan malaikat. Jangan cuba samakan orang halus dengan kuman bakteria yang membawa penyakit. Kuman memang halus tetapi bukan ghaib. Kita tahu penyakit tertentu yang dibawa oleh kuman tertentu. Kita boleh baca doa apabila diserang penyakit-penyakit ini tetapi Al-Quran menyebut bahawa Allah s.w.t. tidak akan memperbaiki nasib kita (menyembuh penyakit kita) melainkan kita berusaha memperbaikinya. Dan percubaan kita adalah dengan makan ubat atau bedah. Kita juga terima walaupun kita berusaha, tidak semestinya kita sembuh jika tidak diizinkan Tuhan.
4. Saya ingin cerita sedikit berkenaan kepercayaan orang Melayu.
5. Dahulu orang Melayu berperang dengan orang Siam. Kepercayaan orang Melayu ialah orang Siam mempunyai ilmu ghaib. Mereka percaya orang Siam boleh kebalkan diri dan meresap.
6. Apabila tentera Melayu berhadapan dengan tentera Siam, mereka naik takut kononnya melihat tentera Siam ini meresap, terbang ke sana sini dan tidak boleh ditembusi peluru atau senjata lain.
7. Dengan kepercayaan ini mereka percaya mereka tidak mungkin kalahkan pasukan tentera Siam. Dan mereka pun lari dikejar oleh tentera Siam dan ramai yang dibunuh.
8. Kita tahu sebenarnya tentera Siam adalah manusia biasa. Tetapi kerana kepercayaan yang tidak berasas ini kita naik takut. Sekarang ini pun ada sedikit sebanyak kepercayaan seperti ini. Fikirkanlah kalau tentera kita mempunyai kepercayaan seperti ini apakah dapat mereka mempertahankan negara.
9. Sebenarnya tidak ada orang luarbiasa yang boleh lindungi kita daripada makhluk ciptaan mereka. Yang boleh melindungi kita ialah Allah s.w.t. Kita perlu usaha tetapi jika Tuhan tidak menentukan kita akan pulih atau berjaya kita tidak akan pulih dan berjaya. Samada kita percaya akan pulih atau tidak, usaha kearah pemulihan dan kejayaan mesti dibuat.
10. Sampai bilakah kita hendak simbah air di keliling hospital dan pejabat untuk mendapat perlindungan daripada orang halus dan hantu jembalang?
11. Bukankah aneh apabila orang yang kononnya boleh melindung hospital daripada orang halus, apabila sakit mencari doktor juga, bukan di hospital yang telah disimbah air tetapi di luar negeri.


No comments:

Post a Comment